4 Beranak Semua Jadi Tentera, Rupanya Ni Cara Didikan Ayah Lt Kdr Chan
Sewaktu kecil, kita sering ditanya tentang cita-cita. Ada yang ingin menjadi doktor, jurutera, pengacara dan bermacam lagi bidang kerjaya yang diimpikan. Sudah tentu, ramai juga yang bercita-cita untuk menjadi tentera, ahli bomba dan polis.
Bila bercakap bekerja sebagai tentera, pastinya kita hanya fikirkan masuk hutan, berkawad dan sentiasa mengangkat senjata dengan muka yang berceloreng. Tak pernah kita terfikir, ada pelbagai tugas lagi selain mengangkat senjata dan masuk hutan.
Tahukah anda? Dalam profesion ketenteraan juga terdapat pelbagai bidang tugas yang sama seperti ‘dunia’ kita sebagai orang awam. Antaranya doktor, jurutera, atlet dan chef.
Pernahkah anda tahu hakikat sebenar tugas pegawai tentera di sebalik baju celoreng dan sepucuk senapang?
Di sinilah bermulanya Kempen Tabik Wira Kita yang diilhamkan oleh salah seorang pelakon filem Mat Kilau, Fattah Amin. Kempen ini dilancarkan bagi mengajak rakyat Malaysia untuk turut sama menzahirkan penghargaan buat wira-wira negara yang jarang kita dengar tentang mereka.
Menerusi Kempen Tabik Wira Kita, SK ingin kongsikan kepada anda, pengalaman menarik yang dilalui pegawai-pegawai tentera. Mereka bukan sahaja bergelar seorang askar, malah turut memegang tugas sebagai jurutera, polis tentera dan pegawai media.
Lt Kdr Ts. Chan, jurutera berdarah pejuang
Berbangsa Cina, dibesarkan dalam komuniti tentera, kini berkhidmat demi negara. Itulah dia, Lt Kdr Ts Chan Jun Shen TLDM, Pegawai Jurutera Udara di Pejabat Prestasi Kontrak Markas Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Jika tidak diperkenalkan nama, pasti beliau disangka seorang yang berbangsa Melayu. Kefasihan beliau berbahasa Melayu sememangnya tidak dapat disangkal. Sepanjang temu bual berjalan, Lt Kdr Ts Chan TLDM menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya ketika berbicara.
Rupa-rupanya, terdapat satu prinsip yang dipegang teguh oleh beliau iaitu didikan bapanya.
“Ayah saya seorang yang sangat menekankan disiplin. Kalau saya pergi rumah orang Melayu, saya tak boleh cakap sepatah Cina tau. Tak bagi. Sebab dia kata tak hormat, orang tak faham,” katanya.
Prinsip yang ditanam oleh bapanya, Laksamana Muda Dato’ Chan Peng Cheong tersemat kukuh dalam jiwa, sedari kecil sehingga beliau berjaya.
Sebagai anak kepada pegawai tentera, beliau akui, bukan sahaja didikan keluarga, malah membesar dalam persekitaran tentera turut membentuk jati diri. Seterusnya menjadi laluan hidup pilihan beliau.
“Saya datang dari keluarga tentera, ayah menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) dan seterusnya dia meneruskan kerjaya sebagai pegawai tentera.
“Saya dibesarkan di dalam pangkalan tentera. Semasa ayah saya belayar tu semua, mak saya bekerja dan saya dibesarkan oleh pengasuh yang juga merupakan isteri tentera.
“Disebabkan kami tinggal di kuarters tentera, (secara tidak langsung) saya melihat kehidupan ayah sebagai seorang tentera. Dengan persekitaran itu semua, dari sana saya nampak peringkat perkembangan kerjaya ayah sebagai seorang Pegawai Muda sehingga Laksamana,” ujarnya.
Biarpun pada mulanya beliau menyertai temu duga MTD atas kemahuan bapanya, namun setelah meningkat dewasa, beliau sedar yang dirinya ditakdirkan untuk berkhidmat demi negara.
Kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti ko-kurikulum ketika di bangku sekolah membuktikan darah pejuangnya. Dengan berakhirnya pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, yakinlah beliau, inilah jalan hidup yang tertakdir untuk dirinya.
Jiwa pejuang di luar, ikutan adik-adik di rumah
Menyahut ‘tugas’ sebagai anak lelaki sulung, beliau menggalas tanggungjawab menjadi contoh buat adik-adiknya. Siapa sangka, kedua adik-adiknya turut melanjutkan pelajaran di MTD dan seterusnya berkhidmat dalam bidang ketenteraan.
Inilah dia keluarga perajurit kebanggaan Lt Kdr Ts Chan. Kisah yang bermula dari bapanya, Laksamana Muda Dato’ Chan Peng Cheong (tengah) diikuti adik-adik, Mej (Dr) Chan Jun Win (kiri sekali) dan Lt Ir Ts Chan Jun Kwan (tiga dari kanan). Gambar kenangan ini diambil ketika OP Lenient Cheah (duduk) menamatkan pengajiannya di MTD. Adik kepada OP Lenient, OP Legion Cheah (berbaju kuning) juga kini merupakan graduan MTD. Mereka berdua merupakan adik saudara kepada Lt Kdr Ts Chan.
Mengimbau kembali pengalaman pertamanya melangkah masuk ke alam pekerjaan, Lt Kdr Ts Chan TLDM diperjawatkan di Kapal Diraja (KD) Jebat, kapal frigat peluru berpandu kebanggaan TLDM. KD Jebat kerap terlibat dengan operasi dan eksesais bersama dengan helikopter-helikopter TLDM. Dari situlah, timbulnya minat untuk menyertai Cawangan Udara TLDM.
“Dalam Cawangan Udara ni kita mengoperasikan pelbagai aset udara yang menyokong operasi maritim armada. Jadi, helikopter ni kita panggil dia pengganda kekuatan (force multiplier). Malaysia sebagai sebuah negara maritim memerlukan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mantap untuk mempertahankan Zon Eksklusif Ekonomi daripada ancaman.
“Kapal ni bila dia ada helikopter yang dilengkapi dengan sistem penderia dan senjata, keupayaan tempur dia akan melonjak berkali ganda sebab ada apa-apa yang kena pintas (intercept), helikopter boleh pergi dulu, helikopter ni laju.
“Dengan gandingan kapal dan helikopter, keupayaan tempur kapal dan potensi untuk menjayakan misi turut meningkat ,” kongsinya dengan begitu bersemangat.
Berkongsi tentang pengalamannya mengendalikan pesawat di atas kapal tentera yang sedang bergerak, Lt Kdr Ts Chan TLDM akui ia satu tugas yang mencabar berbanding di darat. Keadaan laut yang bergelora, ruang bekerja yang terhad dan komposisi pasukan yang kecil merupakan antara cabaran yang perlu diatasi.
Beliau perlu arif dalam pelbagai strategi dan kaedah bagi memastikan keputusan yang dibuat ketika pasukannya menyelenggara pesawat mematuhi rutin selenggaraan serta keperluan operasi. Keselamatan operasi penerbangan menjadi keutamaan tertinggi pada sebilang masa.
Menurutnya, beliau berpegang kepada satu kata-kata terkenal dalam penerbangan, “Every takeoff is optional. Every landing is mandatory.”
Setiap penerbangan satu pilihan. Setiap pendaratan satu kemestian. Sememangnya kata-kata yang berat dengan tanggungjawab.
Lt Tanalaksiumy Mahenthiran Rayer, bekas peragawati berjiwa srikandi
Siapa sangka, di sebalik ketegasan, terukir senyuman seorang bekas peragawati negara. Lt Tanalaksiumy, mengangkat sumpah pertaruhkan jiwa dan raganya buat tanah air. Orangnya tinggi lampai, berbicara dengan penuh tertib.
Berasal dari Pulau Pinang, Lt Tanalaksiumy mula dikenali sebagai seorang atlet sukan olahraga yang pernah mewakili negara dalam acara pecutan 4 x 400 meter.
Menginjak dewasa, beliau semakin memahami erti ‘Demi Negara’. Setelah bertahun-tahun dilatih membawa nama negara sebagai seorang atlet dan anggota kerahan Askar Wataniah, beliau tekad untuk teruskan berbakti dengan lebih bersungguh.
Seumpama berbicara dengan takdir, tiada satu halangan pun yang mampu mematahkan semangat jiwa mudanya setelah mengangkat sumpah sekalipun ketika itu seluruh negara dilanda wabak COVID-19.
“Saya tak pernah melihat apa-apapun sebagai satu cabaran.
“Bekerja dalam ini (tentera), kita kena korbankan masa bersama keluarga sebab tugas kita ialah your ultimate priority, keutamaan paling penting.
“Sebab saya dah cop sepuluh jari dan sudah angkat sumpah untuk menjadi pegawai, tak ada orang yang jemput kita untuk masuk kan.
“Kita yang buat pilihan berkhidmat untuk negara dan untuk banggakan mereka (rakyat), kita kenalah berkorban,” ujarnya.
Lt Tanalaksiumy, yang kini bertugas di 104 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), bertanggungjawab menguruskan pengiring bermotor bagi Menteri Pertahanan dan pegawai-pegawai kanan ATM. Selain daripada menjalankan tugas hakikinya dalam KPTD, Lt Tanalaksiumy turut bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan kes seharian dalam kawasan tanggungjawabnya.
Tidak adil bagi kita untuk pejamkan mata, menganggap para wira negara tidak menghadapi segala perit jerih dalam kehidupan. Mereka juga manusia yang diuji terutamanya apabila melibatkan sumpah setia kepada negara.
“Bercanggah dengan pendapat orang awam yang askar tiada kerja di masa aman, kami sebenarnya banyak terlibat dalam operasi penguatkuasaan dan juga dalam fungsi membantu Pihak Berkuasa Awam melalui inisiatif Civil-Military Cooperation (CIMIC).”
Berbekalkan segulung ijazah dalam Perhubungan Awam dari Universiti Swasta (HELP University), beliau tidak memilih bulu dalam menjalankan tanggungjawabnya menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul.
Lt Tanalaksiumy menjalankan tugas dengan penuh hikmah. Bukan hanya kecantikan yang diperagakan, malah beliau menonjolkan kebijaksanaan dalam mendekati setiap permasalahan. Umpama takut di hujung bedil, lari ke pangkalnya.
Lt Mikaail Aiman Adam Muniz
Dari pelajar yang bekerja sambilan di dewan bankuet Wisma Perwira, menjadi Leftenan Muda TUDM yang memastikan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat tidak luput.
Tiada siapa yang memaksa pemuda ini untuk mendaftar ketika Kementerian Pertahanan Malaysia menjalankan kempen Jom Masuk Tentera.
Dengan kekuatan jiwa yang membuak-buak ingin berkhidmat dalam ketenteraan, Lt Mikaail TUDM meneruskan perjalanan solonya menempuh satu alam yang baru.
Sebagai budak bandar yang tidak pernah keluar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lt Mikaail TUDM belajar memperkukuh jati diri serta menyesuaikan diri dengan dunia yang penuh ketegasan dan disiplin.
Tempoh latihan selama sembilan bulan itu digunakan sebaiknya untuk mempersiap diri menjalani kehidupan yang memerlukan khidmatnya di seluruh negara.
“Sepanjang 27 tahun hidup sebelum saya masuk tentera, hidup saya hanya di sekitar Lembah Klang sahaja. Saya belajar di sini, saya duduk rumah dekat sini.
“Jadi apabila saya dah masuk tentera, pangkalan pertama saya adalah Sarawak. Kemudian saya ke Kuantan, Sendayan dan beberapa lokasi lagi. Semua itu untuk bekerja,” ujarnya.
Menurutnya, biarpun beliau baru sahaja berkhidmat di dalam ketenteraan selama dua tahun, tidak ada satu detikpun yang tersisa untuk bersenang-senang.
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertanggungjawab menjaga kedaulatan ruang angkasa negara. Jadi latihan perlu sentiasa dilakukan disebabkan kesiapsiagaan yang diperlukan.
“Sekarang memang betul, we are at peace. Tetapi keamanan tidak bermaksud kita tak perlu buat apa-apa.
“Sewaktu (orang awam) bekerja pun, latihan diperlukan untuk pekerjaan itu berterusan (pada tahap yang baik),” jelasnya lagi.
Penuh berkobar-kobar, Lt Mikaail TUDM berkongsi segala latihan ketenteraan yang disertainya. Latihan-latihan ini tidak hanya mengenai pentadbiran, malah melibatkan pelbagai bidang yang tidak pernah kita terfikir.
Inilah dia, kisah wira berjiwa pejuang yang ingin kami kongsikan. Jadi, bagaimana pula dengan anda? Adakah anda juga mempunyai kisah unik tentang wira anda yang ingin dikongsikan bersama masyarakat di luar sana?
Gunakan peluang ini untuk anda zahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada wira anda yang berjuang demi negara. Sertai kempen Tabik Wira Kita yang bermula pada 25 September hingga 31 Oktober 2024 dengan memuat naik video perkongsian di media sosial menggunakan #TabikWiraKita.
Hadiah lumayan sehingga RM6,000 di samping hadiah mingguan bernilai RM1000 menanti anda.
Dalam ramai-ramai manusia, andai tiada yang kongsikan kisahnya, tiada siapa yang dapat mengenalinya. Jika bukan anda yang kongsikan, siapa lagi.