KPKT Lancar Sambutan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024
PUTRAJAYA, 26 September 2024 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) telah menyempurnakan pra-pelancaran sambutan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 hari ini di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Presint 5, Putrajaya.
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tarikh 20 September setiap tahun sebagai World Cleanup Day. Acara global tahunan ini bertujuan menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat serta meningkatkan kesedaran terhadap tindakan pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat.
Sebagai salah satu inisiatif dalam menyambut seruan di peringkat global, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjalin kerjasama dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menganjurkan satu acara di peringkat kebangsaan iaitu Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day.
Inisiatif ini juga adalah seiring dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat.
YB KM berkata, “Hari Cuci Malaysia ini merupakan kempen gotong royong mega secara bersepadu di seluruh negara bagi memastikan Malaysia sentiasa bersih, hijau, indah dan mampan. Selain daripada itu, kita juga menghadapi masalah tapak pelupusan sampah haram yang bercambah biak di seluruh negara. Justeru itu, inisiatif program ini diharap dapat mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal selain daripada mengoptimakan tapak pelupusan sampah sedia ada supaya tiada lambakan sisa berlebihan,”.
Program pembersihan mega yang melibatkan 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini berkonsepkan gotong royong yang melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, pembersihan dan penutupan tapak sampah haram, kempen kitar semula, kempen hindar plastik sekali guna, cucian premis, parit dan longkang, ploging, pencucian siar kaki dan pencucian jalan.
Selain kerja-kerja pembersihan, tiga (3) rekod The Malaysia Book of Records akan turut dicipta dan dipecahkan iaitu bilangan penyertaan teramai serentak di seluruh negara, jumlah kutipan sisa pepejal terberat (sisa isi rumah) dan masa gotong –royong paling lama (12 jam).
Pengiktirafan rekod ini adalah bukti komitmen KPKT dan rakyat Malaysia yang menjayakan kempen ini sekaligus diabadikan dalam The Malaysia Book of Records untuk tatapan generasi akan datang.
Program pembersihan mega yang berpusat di Pasar Seni, Kuala Lumpur akan diadakan serentak di seluruh negara pada 28 September 2024 (Sabtu) bermula pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam selama 12 jam. Selain gotong royong, turut diadakan karnival mini, sesi perkongsian maklumat dan pameran mengenai sustainable living dan ekonomi kitaran, flee market dan lain-lain.
Hari Cuci Malaysia ini menyasarkan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, syarikat konsesi, komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR), komuniti PRIMA home, 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), semua kementerian dan rakan strategik KPKT.
Program ini mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan PR1MA Malaysia menerusi penglibatan empat (4) residensinya iaitu Residensi Bandar Puteri Jaya 1 dan 2, Kedah; Residensi Seri Mahkota Maju, Pahang dan Residensi Tebrau, Johor. Setiap residensi akan di wakili oleh 50 orang peserta yang menjadikannya berjumlah 200 orang peserta.
Malakoff Corporation Berhad menerusi Alam Flora Sdn. Bhd. turut menyokong penuh pelaksanaan gotong royong mega ini dengan menggerakkan 2,600 orang pekerja menggunakan 138 unit jentera pembersihan di 370 lokasi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.
Turut hadir sesi sidang media hari ini ialah YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) KPKT; YBhg. Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya; YBrs. Encik Badrulhisyam Fauzi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd; YBrs. Encik Murali Jayabalan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp); pengurusan tertinggi KPKT dan wakil-wakil daripada Kementerian dan Agensi Kerajaan.
Orang ramai adalah dijemput hadir memeriahkan program ini di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan semua lokasi yang ditetapkan di seluruh negara.