Baru Enam Hari Bertugas, Datuk Bandar Di Mexico Maut Dipercayai Dipenggal
Seorang datuk bandar di selatan Mexico ditemui maut dibunuh, selang beberapa hari selepas menggalas jawatan tersebut.
Menurut CNN, jenayah itu merupakan insiden terbaru serangan keganasan yang menyasasarkan ahli politik di negara berkenaan.
Alejandro Arcos dikatakan dilantik menjawat jawatan Datuk Bandar Chilpancingo sejak 1 Oktober lepas dan menjadi ahli politik kedua di bandar itu yang dibunuh dalam masa terdekat.
Sebelum ini, seorang lagi pegawai kerajaan di bandar itu, Francisco Tapia menemui ajal selepas ditembak.
Dalam laporan media tempatan, Alejandro maut dipercayai akibat dipenggal, namun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara tersebut.
Presiden Mexico yang baru dilantik, Claudia Sheinbaum dalam satu kenyataan menyifatkan pembunuhan Alejandro sebagai tragedi yang ‘sangat malang’.
Sheinbaum berkata, kabinet keselamatannya juga diarah untuk menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil untuk menangani isu-isu keselamatan yang berbangkit di negara itu.
Bandar terkenal dengan reputasi jenayah keganasan
Menurut CNN, Chilpancingo yang merupakan ibu kota Guerrero adalah sebuah bandar yang mempunyai reputasi dengan aktiviti jenayah keganasan.
Bagaimanapun, kejadian serangan keganasan terhadap ahli politik sebenarnya melangkaui sempadan Guerrero, terutamanya sepanjang kempen pilihanraya yang lalu.
Dengan lebih 20,000 posisi politik dipertandingkan, skala pertumpahan darah yang dilakukan oleh mereka yang berniat untuk mempengaruhi undi adalah diluar jangkaan ramai.
Sepanjang tempoh kempen berlangsung, sekurang-kurangnya 34 orang calon pilihanraya maut disyaki dibunuh oleh kumpulan jenayah terancang.
Malah, hanya beberapa jam selepas Sheinbaum dilantik menjadi Presiden, seorang datuk bandar wanita di barat Mexico dilapor maut ditembak.
Datuk bandar di Mexico maut dipercayai dipenggal
Menurut laporan Intergralia Consultants, kumpulan jenayah cenderung menyerang ahli pentadbiran peringkat bandar dan ke atas kerana pengaruh politik yang dimiliki mereka.
Misalnya, memanfaatkan hubungan politik yang dimiliki datuk bandar dengan penguatkuasa dan perniagaan tempatan akan membenarkan aktiviti jenayah mereka bergerak bebas.
Oleh itu, kumpulan jenayah akan berusaha mendekati ahli politik dan membiayai kempen mereka sepanjang musim pilihanraya.
Pada masa yang sama, kumpulan ini bertindak menakut-nakutkan calon termasuk membuat ancaman keselamatan, bertujuan untuk memaksa calon pilihanraya bekerjasama dengan mereka.
BACA: City Umum Menang Beberapa Tuntutan Ke Atas Premier League