Siakap Keli
Baru Tiba Di Mekah
Kredit: MPP UiTM Terengganu

Baru Tiba Di Mekah Untuk Umrah, Ibu Bapa Ku Adib Pulang Kembali Ke Malaysia

Baru Tiba Di Mekah Untuk Umrah, Ibu Bapa Ku Adib Pulang Kembali Ke Malaysia

Semalam, negara dikejutkan dengan berita tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi. Manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah dalam kejadian itu adalah Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan.

Menurut laporan berita tempatan, ibu bapa kepada Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi baru sahaja berangkat untuk menunaikan umrah kira-kira jam 5 petang semalam sebelum nahas tersebut berlaku.

Difahamkan, kedua-dua orang tua Allahyarham tidak mengetahui kejadian yang menimpa anak mereka kerana dalam perjalanan menuju ke tanah suci Mekah.

Seluruh kejiranan sedang menanti jenazah Allahyarham Ku Adib Aizad 

Menerusi hantaran Ridzaudin Majid di Facebook, jiran kepada keluarga mangsa memaklumkan penduduk di Seri Pristana, Sungai Buloh sedang menunggu kepulangan pasangan suami isteri yang dikatakan sudah pun mengetahui mengenai insiden itu.

Ridzaudin berkata, ibu bapa Allahyarham mengambil keputusan untuk berpatah balik dan kembali ke Malaysia selepas mendapat khabar duka berkenaan.

“Semoga Allah memudahkan urusan dan kekuatan untuk ibu ayahnya. Mereka merupakan jiran belakang rumah. Inshaallah kami bantu apa yang patut kerana ia adab berjiran,” ujar hantaran itu.

Menurut Ridzaudin, seluruh kejiranan sedang menunggu jenazah Ku Adib Aizad tiba di rumah selepas diuruskan oleh hospital dan universiti.

“Mak ayah Allahyarham Ku Adib Aizad dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang, hari ini,” katanya lagi.

Ridzaudin turut memaklumkan bahawa jenazah Ku Adib Aizad akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Aliyah Saujana Utama, Sungai Buloh.

Tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian

Terdahulu Bernama melaporkan bahawa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira 7.26 malam.

Ketua BBP Dungun, Sharizal Shamsudin berkata seramai 10 anggota penyelamat digerakkan ke lokasi nahas sebaik sahaja menerima laporan berkenaan.

Beliau berkata laporan awal mendapati nahas itu melibatkan motosikal  jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa berusia lingkungan 20-an dan kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.

“Kereta berkenaan merempuh kedua-dua motosikal itu dari arah belakang ketika dalam perjalanan ke universiti. Satu daripada motosikal itu terseret hampir 60 meter.

“Kedua-dua penunggang dan pembonceng Yamaha LC135 maut manakala seorang yang menaiki Yamaha Y15 cedera dan seorang lagi meninggal dunia. Semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian setelah disahkan petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.