Brek Gagal Berfungsi Dipercayai Punca Lori Rempuh Empat Kereta, Dua Motosikal
Brek yang gagal berfungsi dipercayai menjadi punca kepada sebuah lori melanggar empat kereta dan dua motosikal dalam kejadian yang berlaku di persimpangan lampu isyarat, di Sri Medan, Batu Pahat.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 3.47 petang pada Ahad.
Ketika kejadian, lori yang terlibat dipandu seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun dan dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru dari Parit Sulong.
Setibanya di lokasi kejadian, lori berkenaan bagaimanapun dipercayai mengalami masalah brek dan merempuh semua kenderaan yang terlibat.
“Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan bagaimanapun disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ujian saringan awal air kencing pemandu lori terbabit mendapati ia bebas daripada kandungan dadah.
“Bagaimanapun, lori tersebut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Batu Pahat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Tambah Shahrulanuar, polis menyiasat kes berkenaan dibawa Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Ia bagi kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Berdasarkan akta tersebut, hendaklah dihukum denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan untuk tempoh tidak lebih daripada 12 bulan, jika sabit kesalahan.
BACA: Siri Anime “One Piece” Umum ‘Rehat’ Hingga 2025
Sumber: Sinar Harian