Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kontraktor, Anak Saudara Didakwa Bunuh Sabari
JITRA, 17 Okt (Bernama) — Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, bulan lepas.
Tertuduh 1, 38, dan anak saudaranya tertuduh 2, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kontraktor dan pekerja kilang itu, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau maksimum 40 tahun penjara dan sebatan minimum 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rizal Fadzil dan Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Nurul Huda Idris menetapkan 5 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 Sept sebelum kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 Sept.
Polis kemudiannya mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat, susulan penahanan dua lelaki itu.
Operasi pencarian Sabari di kawasan sungai berkenaan dilaksanakan selama tiga hari, sebelum ditamatkan pada 3 Okt.
Sumber: BERNAMA