Siakap Keli
insentif pembiayaan ptptn dan simpan sspn
Sumber : BERNAMA

Insentif Pembiayaan PTPTN Dan Simpan SSPN Melalui Belanjawan 2025

Insentif Pembiayaan PTPTN Dan Simpan SSPN Melalui Belanjawan 2025

1. Pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana  Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin  Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 18 Oktober 2024 (Jumaat) telah memberikan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional  (Simpan SSPN).

2. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih bagi inisiatif  yang telah diumumkan melalui Belanjawan 2025 seperti berikut :

i) Menyediakan dana pembiayaan pendidikan PTPTN berjumlah RM500 juta khusus untuk pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM di IPTA;

ii) Pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Simpan SSPN dilanjutkan untuk tempoh tiga (3) tahun; dan 

iii) Peluasan kriteria pemberian Geran Sepadan Simpan SSPN melalui ikhtiar  Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

3. Penyediaan dana pembiayaan pendidikan khusus kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di IPTA  adalah sebagai sokongan dan selaras dengan aspirasi Kerajaan ke arah melahirkan  graduan berkebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri.

4. Dalam usaha Kerajaan menggalakkan penabungan untuk tujuan pendidikan tinggi  anak-anak, Kerajaan bersetuju agar insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan dalam Simpan SSPN dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027. Selain  itu, pemberian geran padanan atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN bagi pelajar  yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada keluarga  berpendapatan RM4,000 diperluaskan sehingga RM6,000 dengan jumlah geran maksimum sehingga RM5,000. Inisiatif melalui ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) ini  adalah bagi tempoh dua (2) tahun.

5. PTPTN amat komited melaksanakan hasrat Kerajaan melalui Belanjawan 2025. Inisiatif ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk menggalakkkan lebih ramai  pelajar mengikuti bidang STEM yang merupakan satu daripada elemen kritikal bagi  memacu ke arah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030, di samping  melahirkan graduan anak muda yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi serta diperlukan oleh industri dan negara.

6. PTPTN juga berharap masyarakat Malaysia terus menjadikan Simpan SSPN  sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi selaras  dengan usaha Kerajaan memberikan manfaat penabungan melalui insentif Belanjawan  2025. Masyarakat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai Kerajaan MADANI yang  amat prihatin dalam menyediakan keperluan masyarakat terutamanya dari aspek  bantuan kewangan bagi persediaan anak-anak untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang. Selanjutnya, perincian berkenaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan ini akan dimaklumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.