Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Amaran Hujan Lebat, Ribut Petir Di 5 Negeri Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan 5 negeri bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 5 petang ini.
Menerusi amaran yang dimuat naik di laman Facebook, cuaca buruk bakal melanda daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu. Keadaan tersebut turut bakal dialami mereka yang berada di daerah Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang.
Di selatan, daerah Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan dijangka alami hujan lebat. Manakala di Johor pula, hampir keseluruhan negeri bakal dilanda ribut petir dan hujan lebat. Antara daerah yang terlibat ialah Tangkak, Segamat, Muar, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Di Sarawak, hujan lebat hanya melibatkan daerah Miri (Marudi).

Dalam pada itu, pihak MetMalaysia turut mengeluarkan nasihat ribut tropika Trami yang dikesan berlaku di 1,281 kilometer ke Timur Laut Kudat.
Susulan itu, pihaknya menjangkakan hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di kawasan perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Berikutan itu, orang awam dinasihatkan untuk berhati-hati ketika berada di luar dan elak kawasan berisiko.
Terdahulu, jabatan tersebut turut memaklumkan berkenaan permulaan fasa Peralihan Monsun yang bermula sejak 24 September lalu dan bakal berterusan sehingga awal November 2024.
Pihaknya turut menasihati orang awam agar berhati-hati sepanjang tempoh berkenaan berikutan kejadian hujan lebat serta angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat. Ini terutamanya pada waktu petang dan awal malam,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia.
Fasa ini dijangka melanda kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.