Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024
KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER 2024 – Menjelang sambutan perayaan Deepavali 2024 pada 31 Oktober 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 berkuat kuasa dari 28 Oktober hingga 3 November 2024.
Tempoh pelaksanaan adalah selama 7 hari iaitu 3 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan. Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 8 jenis barangan yang akan dikawal di bawah Skim ini. Barangan yang terlibat di bawah Skim adalah:
i. Daging kambing biri-biri bertulang import;
ii. Tomato;
iii. Cili merah;
iv. Kelapa biji (Harga maksimum di peringkat borong sahaja);
v. Kelapa parut (Harga maksimum di peringkat runcit sahaja);
vi. Bawang merah kecil (India) termasuk Ros;
vii. Bawang merah besar import;dan
viii. Kacang dal (Australia)
Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.
Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain pemain industri.
SHMMP Deepavali 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat. Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.
Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika.
Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim.
Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;
(ii) Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan melalui saluran berikut:
1. WhatsApp 019-848 8000;
2. Call Centre 1-800-886-800;
3. E-mel [email protected]; dan
4. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.