PLUS Jangka 2.1 Juta Kenderaan Sehari Sempena Cuti Perayaan Deepavali
KUALA LUMPUR — Aliran trafik dijangka meningkat 2.1 juta kenderaan sehari pada 30 Oktober, 2 dan 3 November bersempena cuti perayaan Deepavali ini, petik Sinar Harian.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Katanya, bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sepanjang perjalanan, PLUS telah melakukan persiapan rapi.
Smart Lane diaktifkan
Sehubungan itu, 21 lokasi kritikal akan diaktifkan ‘Smart Lane’ termasuk menambah baik kemudahan di hentian rehat dan rawat (R&R).
“PLUS komited untuk terus menaik taraf tandas di R&R, hentian sebelah dan plaza tol. Sepanjang tahun lalu hingga tahun ini, kira-kira RM37.5 juta dibelanjakan untuk menaik taraf serta menambah baik tandas awam di 60 lokasi kawasan rehat.
“Kami juga menyediakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan MyPLUS atau MyPLUSTTA menerusi aplikasi PLUS bagi membantu mengagihkan trafik.
“Pada masa sama, kami ingin mengingatkan pengguna agar memandu berhati-hati, rancang perjalanan dengan teliti dan bersabar sepanjang musim perayaan ini kerana trafik dijangka meningkat,” ujarnya sewaktu ditemui di Pusat Pemantauan Trafik Plus di Menara Persada PLUS.
Tol percuma sempena Deepavali
Semalam, Bernama melaporkan pengguna lebuh raya akan menikmati tol percuma bermula 29 Oktober hingga 30 Oktober ini.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, tol percuma ini bakal dilaksana di semua lebuh raya di seluruh negara.
Ia akan bermula tepat jam 12.01 tengah malam pada 29 Oktober, dan berakhir pada 11.59 malam, 30 Oktober (Rabu).
“Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta itu akan ditanggung oleh Kerajaan Madani dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.
“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumber: Sinar Harian