Sejak dulu, penggunaan selipar getah ini tidak asing dan sentiasa menjadi pilihan kerana harganya yang murah, mudah dipakai dan pastinya selesa. Baru-baru ini, selipar “yezzy slide” yang diperbuat daripada getah ini tular dan menjadi pilihan orang muda. Boleh dikatakan, kemana-mana sahaja pergi, pasti ada sahaja yang memakainya.
Tetapi, selipar jenis ini ada satu keburukan, tak lain tak bukan, ia cepat kotor. Walaupun, selipar hanya berada di kaki, ia juga perlu dijaga dan dibersihkan. Apabila kita kerap kali memakainya, ia akan mula bertukar warna menjadi kehitaman.
Selipar getah menjadi hitam pada bahagian dalam, berpunca daripada pengumpulan peluh dan kotoran kaki. Sedar atau tidak, kaki kita berpeluh secara berlebihan sepanjang hari sehingga kelembapan ini terperangkap di dalam selipar.
“Penat sental sebelum ni tapi macam tu jugak. Dah la dulu beli mahal, masa selipar ni belum ‘viral’. Sayang nak buang.”
Menerusi perkongsian oleh salah seorang pengguna TikTok, faghanawi, wanita ini berkongsi tips membersih dan mencuci “yezzy slide” yang hitam sehingga berubah menjadi seperti baru.
Dalam video tersebut, wanita ini memulakan operasi pembersihannya dengan memakai sarung tangan dan mengisi separuh air kedalam sebuah bekas kosong.


Seterusnya, video itu menunjukkan wanita itu menuang cecair penghilang kotoran sebanyak dua tutup botol ke dalam bekas yang berisi air tadi.

Selepas itu, selipar yang kotor direndam didalam bekas sehingga air terkena pada semua permukaan selipar. Kemudian, wanita itu memberus permukaan selipar yang kotor dan hitam secara berulang sehingga selipar itu bertukar warna asal.

Hasilnya sangat mengejutkan, kerana hanya menggunakan beberapa bahan sahaja, selipar itu menjadi bersih seperti baru.
Lihatlah perbezaan selipar getah yang sudah dibersihkan dan selipar getah yang belum dibersihkan.

Tiada lagi selipar getah yang hitam dan kotor. Selamat mencuba!
Sumber: Tiktok faghanawi, premiumflipflops.com