Raja Permaisuri Agong Berkenan Mengurniakan Sumbangan Kepada Komuniti Wilayah Persekutuan Labuan
LABUAN, 6 NOVEMBER 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan kepada komuniti Wilayah Persekutuan Labuan. Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Wilayah Persekutuan Labuan selama dua (2) hari bermula 5 hingga 6 November 2024 juga telah mencemar duli menyantuni anak-anak Kolej Matrikulasi Labuan. Seri Paduka Baginda juga telah berkenan beramah mesra dengan penduduk Kampung Sungai Lada, Wilayah Persekutuan Labuan.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut mencemar duli mengurniakan sumbangan peribadi daripada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada 378 orang penerima dalam kalangan asnaf, golongan miskin, warga emas dan anak-anak Darul Kifayah MAIWP Labuan.
Kurniaan sumbangan wang tunai dan kotak makanan berkenaan disalurkan melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor. Anak-anak Darul Kifayah MAIWP Labuan juga turut menerima barangan keperluan persekolahan setiap seorang. Inisiatif ini sebagai usaha membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin tinggi di Wilayah Persekutuan Labuan.
Ini menunjukkan keprihatinan Raja Permaisuri Agong membolehkan kalangan asnaf, golongan miskin, warga emas dan anak-anak Darul Kifayah MAIWP Labuan merasai kebersamaan dengan pengurniaan sumbangan ini.