Geng-geng sukan waktu malam, biasanya apa je alasan korang bagi untuk keluar bersukan kat puan isteri? Silap bagi alasan, tidur luar jawabnya nanti.
Di sosial media, ramai kaki futsal, badminton mahupun kaki jogging malam kongsi video ragam minta izin isteri nak bersukan. Ada yang berjaya, ada yang tak. Tapi ada satu alasan ni yang kalau korang guna, confirm lulus permohonan. Memang level maulana lah. Silap hari bulan puan isteri yang belikan peralatan sukan lagi untuk korang.
Apa alasan tu?
Ha korang cakap je, korang akan dapat pelepasan cukai hingga RM1,000 bila buat aktiviti dan beli barang sukan yang korang minat tu. Bukan tu je, kalau puan isteri dan anak nak join bersukan atau kelas beryuran pun, korang boleh claim pelepasan cukai.
Boleh la sihat dan meletop sama-sama, kan? Rugi tak claim. Bila lagi nak pergi berzumba atau berenang ‘percuma’, ye tak? Iyalah, selama ni tengok artis-artis je ke gym buat badan, lepas ni puan isteri pun dah boleh daftar keahlian. Diorang pun boleh dapat me time sambil-sambil jumpa kawan baru. Tapi pastikan dari jurulatih yang mendapat sijil yang bertauliah.
Kalau nak tahu, ada 103 sukan yang termasuk dalam pelepasan cukai yang telahpun dimasukkan dalam belanjawan tahun depan, antaranya renang, berbasikal, bola sepak, futsal, seni mempertahankan diri dan banyak lagi.
Anak-anak pun takde lah bosan hujung minggu terperap hadap gajet kat rumah. Korang boleh bawa diorang belajar berenang, berkuda ataupun memanah, mana-mana yang diorang suka.
Senarai penuh sukan terlibat, korang boleh tengok kat sini,
Kalau korang perasan, sukan yang tak libatkan aktiviti fizikal lasak pun ada antaranya dam, karom, congkak, e-game dan catur. Sesuai untuk korang yang ada mak ayah warga emas sebab sukan-sukan jenis ni akan asah fikiran mereka supaya tak cepat lupa.
Hatta kalau mak ayah korang suka berjoging atau main golf sekali pun, korang dah boleh tebus pelepasan cukai sepertimana pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 yang lepas.
Dalam masa sama, korang boleh sokong anak-anak yang ada potensi dalam e-game juga. Mana tahu satu hari nanti jadi juara dunia, menang duit juta-juta, ye tak?
Untuk makluman, pelepasan cukai ni meliputi perbelanjaan bagi pembelian peralatan sukan diri sendiri, pasangan, anak dan ibu bapa bagi aktiviti sukan yang termaktub dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), tidak termasuk basikal dua roda bermotor.
Pelepasan ni termasuk bayaran sewa atau yuran pendaftaran ke mana-mana fasiliti sukan dan bayaran pendaftaran kalau korang nak join apa-apa pertandingan mahupun latihan sukan, termasuklah keahlian gimnasium.
Jadi bila dah tahu ni, boleh lah ajak anak isteri sihat sama-sama. Puan isteri pun senang hati nak bagi lampu hijau kalau korang nak bersukan waktu malam. Silap hari bulan diorang yang teruja nak belikan kasut sukan baru untuk suami tercinta.