Siakap Keli
belanjawan 2025 berpaksikan rakyat
Sumber : BERNAMA

Belanjawan 2025 Berpaksikan ‘Rakyat First’

Belanjawan 2025 Berpaksikan ‘Rakyat First’

PUTRAJAYA, 18 OKTOBER 2024 – Belanjawan 2025 yang dibentangkan YAB Perdana Menteri berpaksikan “Rakyat First’” sekaligus  membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat, mengangkat martabat rakyat dan menjunjung hak rakyat. 

Menerusi pengumuman Belanjawan 2025, fokus utama kerajaan adalah menjana perubahan menerusi tanggungjawab fiskal dan tadbir urus, membugar ekonomi dengan menaikkan siling menerusi peningkatan  produktiviti dan pendapatan negara serta mensejahterakan rakyat menerusi meninggikan lantai taraf hidup dan memperkukuh keselamatan  sosial. 

Sabah dan Sarawak 

Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan  dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion  dan RM5.9 bilion. 

Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969. Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah). Mulai 2025, Kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan  Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta. 

Sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan SST dengan nilai kontrak RM9.7 bilion. Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau. Sementara, Pan  Borneo Sarawak dijangka siap November 2024. Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak  RM25.1 bilion. 

Kerajaan telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion. Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun. 

Kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan  kos RM253 juta. 

Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat  Kanser Sarawak yang dianggarkan RM1 bilion dengan kesediaan  Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pembinaan projek. 

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) 

PETRA menyambut baik Belanjawan 2025 yang turut mengangkat  martabat rakyat menerusi lonjakan reformasi ekonomi dari sudut  kemampanan sumber tenaga dan air.

Belanjawan 2025 memfokuskan kepada pembangunan sektor tenaga dan  air, dengan jumlah peruntukan secara keseluruhan sebanyak RM4.95  bilion. Ia meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan  perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.59 bilion. 

Dengan situasi semasa perubahan iklim yang semakin ketara hingga  mengakibatkan cuaca ekstrem dan mendorong kepada kejadian banjir,  PETRA terus komited untuk melaksanakan projek Tebatan Banjir  sebagaimana diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2025.  

Setakat ini, Kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan (8) projek  Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta. Seterusnya, 12  projek RTB dengan kos RM3 bilion telah dikeluarkan Surat Setuju Terima  (SST) pada tahun 2024 dan berjalan mengikut jadual yang melibatkan:

i. RTB Sungai Damansara, Selangor;

ii. RTB Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah;

iii. RTB Sungai Triang, Bera, Pahang; 

iv. RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu;

v. Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan  Fasa 2, Kota Bharu.

Dalam menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan  beberapa bandar lain, sebagai langkah segera, penyaluran RM150 juta  kepada PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja  pembersihan longkang dan pengorekan sungai. 

Antara pengumuman lain menerusi Belanjawan 2025 kali ini yang  berkaitan Kementerian adalah: 

i. Kemudahan lebih RM300 juta yang disediakan di bawah Dana  Mudah Cara Peralihan Tenaga, bagi menggalakkan lagi pelaksanaan  inisiatif dan projek berkaitan peralihan tenaga. 

ii. Program Net Energy Metering (NEM) dilanjutkan kepada 30 Jun  2025 agar lebih banyak bumbung premis dimanfaatkan untuk  pemasangan solar photovoltaic (PV). 

iii. Pelaksanaan Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) diteruskan  dengan pembiayaan sebanyak RM1 bilion sehingga tahun 2026. 

iv) Beberapa projek National Energy Transition Roadmap (NETR) juga  memasuki fasa pelaksanaan:

a) Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau  Terengganu – 1,000 megawatt; dan

b) Program Large Scale Solar (LSS). 

v. Peruntukan RM70 juta yang disediakan bagi menggalakkan pembelian kelengkapan elektrik cekap tenaga dalam bentuk e-rebat bagi  pengguna domestik dan sektor industri. Dengan pelaksanaan program ini,  negara dapat menjimatkan 571 Gigawat jam setahun bersamaan dengan  RM112 juta.

vi. Pelaksanaan Kontrak Prestasi Tenaga untuk semua agensi  Kerajaan sebagai salah satu inisiatif kecekapan tenaga di sektor awam  (Government Lead by Example). 

Belanjawan 2025 jelas memperlihat tekad Kerajaan Persekutuan dalam mengutamakan rakyat dan mengangkat martabat rakyat, membetulkan ketidakcekapan masa lalu dan membina asas kukuh dan mampan untuk  pertumbuhan masa depan negara. Ini termasuk dengan memperkasakan pelaksanaan agenda serta dasar peralihan tenaga dan transformasi air, demi manfaat rakyat secara holistik dan bersepadu. 

Nurul Naqiyah