Siakap Keli
Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai TDM
Gambar: LLM

Elak Treler Ubah Laluan & Jalan Licin, Punca Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai Terbabas – TDM

Elak Treler Ubah Laluan & Jalan Licin, Punca Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai Terbabas – TDM

KUALA LUMPUR — Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (KPKP) dari 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 KPD Mek) bersama muatan dua Kenderaan Jenis A (KJA) ADNAN terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer (KM) 35.2 dari Terowong Genting Sempah menuju ke Tol Gombak pada petang tadi.

Difahamkan, kenderaan berkenaan dalam perjalanan secara konvoi sebanyak enam KPKP yang membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).

Bagaimanapun, kenderaan milik pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD Mek) terbabas sewaktu menuruni bukit di lokasi kejadian sekitar jam 4.45 petang.

“Melalui laporan awal yang diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah treler awam yang telah menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tiba-tiba.

“Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan.

“Kerosakan adalah keseluruhan bahagian Prime Mover KPKP manakala tiada kerosakan pada KJA dan pemandu KPKP tidak mengalami sebarang kecederaan,” maklum TDM dalam kenyataan tersebut.

Menurut TDM lagi, kenderaan lain yang berada di dalam konvoi telah meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi.

“TDM menggerakkan sebuah kenderaan KEMBALIK dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD Mek) dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan bagi membuat penarikan KPKP dan pengambilan 2 KJA yang terlibat kemalangan ke pasukan bagi tindakan selanjutnya.

“TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku,” maklum TDM lagi.

Sumber: Tentera Darat Malaysia (TDM)

BACA: 9 Negeri Diramal Hujan Hingga Awal Pagi Ini

BACA: Treler Bawa Muatan Kereta Kebal Terbabas Di Lebuhraya KL-Karak

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"