Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kerajaan Setuju Program MyLesen Diteruskan Pada 2025

Kerajaan Setuju Program MyLesen Diteruskan Pada 2025

SHAH ALAM — Program MyLesen akan diteruskan pada tahun depan dengan jumlah peserta diramal semakin meningkat terutamanya golongan belia dan B40, lapor Sinar Harian.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, ia selepas Kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran ujian memandu itu selepas menerima lebih 130,000 permohonan di bawah program MyLesen pada tahun ini.

Tambahnya, seramai 41,853 daripada jumlah tersebut layak untuk menyertai program MyLesen berdasarkan tapisan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Berdasarkan kepada rekod, sehingga hari ini, lebih 26,000 telah berjaya memperolehi lesen memandu B2, PSV E-Hailing, PSV Bas dan GDL Lori di bawah Program MyLesen Tahun 2024.

“Jumlah tersebut juga akan meningkat hingga hujung tahun 2024 memandangkan terdapat peserta yang sedang menyelesaikan latihan dan ujian yang telah ditetapkan,” maklumnya sewaktu Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Peringkat Negeri Selangor Tahun 2024 di Arena Juara, JPJ Negeri Selangor di Jalan Padang Jawa.

Mengulas lebih lanjut, Loke berkata seramai 2,645 peserta yang ditawarkan sebagai penerima manfaat dan 2,190 peserta di peringkat Negeri Selangor telah berjaya memiliki lesen B2, PSV E- Hailing, PSV Bas dan GDL Lori.

“Saya difahamkan penerima Program MyLesen Peringkat Negeri Selangor bukan sahaja terdiri daripada golongan tinggal di kawasan bandar tetapi meliputi penduduk kawasan luar bandar.

“Selain daripada itu, penerima MyLesen B2 (Motosikal) Peringkat Negeri Selangor ini juga melibatkan para pelajar untuk memudahkan pergerakan ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan program MyLesen ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memberi manfaat secara berterusan kepada golongan sasar dalam negara.

“Menerusi pembentangan Belanjawan Madani Tahun 2025 diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, kerajaan akan meneruskan bantuan lesen motosikal kepada 15 ribu anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.

“Inisiatif berterusan ini bukan sahaja semata-mata untuk memberi lesen memandu kepada mereka yang layak tetapi juga untuk memberi kesedaran terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan sokongan daripada semua institut memandu, langkah ini mampu memberi kesedaran terhadap pengguna jalan raya agar berhati-hati dan sentiasa mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Tuntutan Berkaitan Plat MADANI: “Kalau Nak Saman, Cuba Nasib Lah” – Loke

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"