“Rasa Macam Askar Betul,” Berkhemah Ala Tentera Dalam Hutan & Tidur Atas Tanah, Alumni PLKN Sokong Program Diadakan Semula
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini kembali dengan wajah baharu sebagai PLKN 3.0. Untuk pengetahuan semua, program ini dilengkapi dengan modul khas dan latihan intensif yang bertujuan untuk membentuk generasi muda Malaysia menjadi individu yang lebih berdisiplin dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
Namun, persoalannya, apakah pendapat mereka yang pernah menyertai program ini? Dalam artikel ini, SK berkesempatan menemubual beberapa alumni PLKN sebelum ini untuk berkongsi pengalaman, perspektif serta harapan mereka terhadap versi baharu program ini.
Berikut adalah beberapa pandangan alumni PLKN berdasarkan subtopik yang berfokuskan pengalaman dan harapan mereka terhadap PLKN 3.0.
Setuju PLKN 3.0 Diadakan Semula

Kita ambil maklum, ada rakyat Malaysia yang menyokong tindakan kerajaan untuk menghidupkan semula program ini sebagai PLKN 3.0. Jika dilihat, program ini sebagai satu peluang untuk membantu anak muda Malaysia memahami pentingnya disiplin, patriotisme, dan kesediaan berkhidmat kepada negara.
Bagi salah seorang alumni PLKN, Zack berkata bahawa program ini boleh jadi platform yang bagus untuk suntik semangat dan bina keyakinan diri terutamanya remaja.
“Kenapa? sebab program PLKN ni memang mengajar dan mengasah kami remaja suatu ketika dahulu untuk sentiasa berdisiplin, patuh arahan dan juga masa. Kalau seorang buat salah, semua dekat situ akan kena juga. Jadi, semangat kekitaan tu ditanam secara tidak langsung,” katanya yang merupakan alumni PLKN Kumpulan 2 Siri 5 di Kem Rekreasi Belia Baling.


Perkara ini turut dipersetujui oleh seorang alumni PLKN wanita bernama Eza yang berpendapat ianya wajar diadakan lebih-lebih lagi bila ia turut menyasarkan golongan berumur sehingga 35 tahun.
“Kita tahu orang dewasa ni lagi senang faham dan tahu apa tujuan sebenar PLKN ni diadakan. Lagi satu, ianya perlu untuk bagi peluang kepada rakyat kita rasa macam mana frontliner kita rasa selama ini. Itulah yang mereka buat dan lebih lagi la sebenarnya. Jadi, kita nak wujudkan semangat patriotisme,” katanya.

Kita boleh nampak bahawa bagi sesetengah alumni, pengalaman mereka dalam PLKN sebelumnya telah membentuk mereka menjadi lebih matang dan bersemangat untuk menyumbang kepada masyarakat.
Belajar Pegang Senjata, Pengalaman Tak Boleh Dilupa

Jika kita bertanya kepada para alumni PLKN dalam kalangan kita, pasti mereka menyatakan bahawa pengalaman memegang senjata api serta belajar mengenai keselamatan dan disiplin merupakan salah satu kenangan paling menarik.
Alumni PLKN tahun 2013, Hafizan Aziz berkata bahawa kenangan yang paling tak boleh lupa adalah masa sesi menembak yang seolah-olah seperti menjadi askar sebenar.

“Rasa macam askar betul – pegang senjata, dengar arahan, semua orang serius. Camping ala tentera dalam hutan pula betul-betul membuka mata sebab dapat pengalaman hidup dalam suasana gelap, bunyi serangga malam, dan kadangkala kena tidur atas tanah,” katanya.
Pengalaman pegang senjata turut dikongsikan oleh Eza di mana dia dapat merasai sendiri bagaimana memegang senjata M16.

“First time kan sebab kita takde pengalaman pegang senjata yang betul. Dan kita siap diajar cara menembak, cara aim. Satu pengalaman yang tak dapat digambarkan la. Siapa sangka boleh pegang senjata sebenar kan?” Kata Eza.
Boleh dikatakan, pengalaman-pengalaman seperti ini dirasakan sebagai satu pendedahan yang jarang didapati di luar program latihan sedemikian.

Jelaslah, PLKN 3.0 dilihat sebagai program yang relevan dengan keperluan semasa belia Malaysia. Dengan pendekatan baharu yang menekankan kemahiran praktikal, tanggungjawab sivik, dan semangat patriotisme, program ini menawarkan peluang yang bernilai untuk membina generasi muda yang lebih berdaya tahan dan bertanggungjawab.
Sebagai generasi baharu yang bakal menyertai, program ini bukan sekadar latihan fizikal tetapi satu pelaburan untuk masa depan negara. Semoga ia memberikan impak yang positif dan berpanjangan kepada generasi muda Malaysia. Jika kita atau kenalan kita berminat untuk menyertai program ini, inilah masanya untuk mengambil peluang dan menyumbang kepada negara tercinta.