Seminar Pemerkasaan Projek TKPM Kukuh Strategi Keterjaminan Makanan Negara
12 November 2024, SHAH ALAM – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup telah merasmikan Seminar Pemerkasaan Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jabatan Pertanian Tahun 2024 di Acappellla Suite Hotel, Shah Alam, Selangor.
Menurut Datuk Arthur, seminar tiga hari ini berjaya mengumpulkan 183 orang peserta yang terdiri daripada usahawan dan Pegawai Pembimbing TKPM dari seluruh negara. “Penganjuran seminar ini merupakan platform yang ideal bagi semua pihak untuk berkongsi idea, ilmu dan strategi terbaik untuk mencapai agenda keterjaminan makanan negara melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi selaras dengan objektif Dasar Agromakanan Negara, 2020-2030 (DAN 2.0),” katanya.
“KPKM melalui Jabatan Pertanian telah telah memperuntukkan RM491 juta di bawah Rancangan Malaysia (RMKe-8) hingga ke RMKe-12 untuk melaksanakan Program Pembangunan TKPM. Peruntukkan ini merangkumi pemberian insentif seperti penyediaan dan naik taraf infrastruktur dan kemudahan asas sedia ada meliputi kerja kerja pembangunan kawasan, penyediaan infrastruktur asas seperti jalan ladang, sistem pengairan serta kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, perolehan peralatan pertanian, aplikasi IoT dan pertanian pintar, latihan dan pengembangan komuniti tani, pemindahan dan juga adaptasi teknologi,” jelas beliau lagi.
Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan Buku Garis Panduan Pembangunan Projek TKPM dan menyampaikan Anugerah Penyelaras Projek TKPM Terbaik Tahun 2023 kepada Jabatan Pertanian Negeri Johor, Anugerah Pencapaian Hasil Pengeluaran Projek TKPM Tertinggi bagi Tahun 2023 dan Tahun 2024 kepada TKPM Hulu Hulu Yam Selangor serta TKPM Kabuloh Sarawak yang menggondol Anugerah Pencapaian Peserta Projek TKPM Berpendapatan Bulanan RM3,000 Tertinggi bagi tahun 2023.
Menurut Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Nor Sam binti Alwi, sebanyak 74 TKPM telah berjaya dibangunkan Jabatan Pertanian di seluruh negara dengan keluasan fizikal 10,614 hektar melibatkan 1,419 orang peserta. “Sejak tahun 2006 hingga September 2024, projek TKPM berjaya menghasilkan pelbagai jenis tanaman buah buahan, sayur-sayuran serta tanaman ladang berjumlah 1,284,510 metrik tan dengan nilai pengeluaran sebanyak RM1.99 bilion,” kata beliau lagi.
Hadir sama Ketua Pengarah Pertanian, Dato’ Nor Sam binti Alwi, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Johari Abdullah, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Christopher John Biai dan pegawai-pegawai kanan Jabatan dan Agensi KPKM.