Ini Alasan Kelab Bola Sepak Jepun Diminta ‘Berhati-Hati’ Rekrut Pemain Indonesia
Media Jepun menerusi laman Biglobe baru-baru ini menyarankan agar kelab-kelab bola sepak di Liga Jepun, termasuk J League 1 dan J League 2, untuk ‘berhati-hati’ dalam merekrut pemain dari Indonesia.
Menurutnya, ini bukan disebabkan oleh ‘kualiti’ pemain Indonesia, tetapi lebih kepada sikap kebanyakan penyokong yang berpotensi memberikan tekanan di media sosial.
Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa pemain Indonesia, seperti Irfan Bachdim, Stefano Lilipaly, Pratama Arhan dan Justin Hubner, telah mencuba nasib mereka di Liga Jepun.
Namun, kebanyakan pemain ini hanya memperoleh masa permainan yang terhad, dan ini membuatkan ramai peminat berasa kecewa.
Malangnya, kekecewaan ini sering kali diluahkan melalui serangan ‘agresif’ di media sosial, terutama apabila pemain kegemaran mereka tidak diturunkan dalam perlawanan.
Contohnya, pada tahun 2022, Tokyo Verdy menerima serangan dalam bentuk komen negatif daripada penyokong Indonesia di akaun media sosial mereka selepas Pratama Arhan tidak disenaraikan dalam barisan pemain utama.
Situasi sama juga berlaku pada tahun 2024 apabila Justin Hubner, pemain pinjaman dari Wolverhampton Wanderers U-21 ke Cerezo Osaka, tidak diturunkan.
Sikap penyokong yang tidak sabar dan meluahkan kemarahan melalui komen negatif ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kelab-kelab Jepun.
Menurut Biglobe, tindakan penyokong yang sering meluahkan kekecewaan mereka secara ‘berlebihan’ ini bukan sahaja mencemarkan imej kelab.
Malah, ini juga menjejaskan keselesaan kelab-kelab Jepun dalam membuat keputusan untuk merekrut pemain Indonesia pada masa hadapan.
“Timnas Indonesia sedang menjadi tumpuan dalam kalangan peminat bola sepak Asia disebabkan oleh tingkah laku agresif segelintir penyokongnya sendiri.
“Mempertimbangkan masalah serupa yang berpotensi berlaku di J League, perekrutan pemain dari Indonesia boleh dianggap berisiko,” tulis Biglobe.
Keadaan ini secara tidak langsung mencerminkan bahawa walaupun pemain Indonesia memiliki potensi yang tinggi, faktor luaran seperti reaksi penyokong di media sosial memainkan peranan penting dalam keputusan kelab Jepun untuk merekrut mereka.
Untuk info, Indonesia dijadualkan beraksi menentang Jepun pada 15 November dan Arab Saudi pada 19 November, dengan kedua-dua perlawanan tersebut akan diadakan di Stadium Gelora Bung Karno.
BACA: Harga Langganan Netflix Di Malaysia Naik
BACA: MLBB Sah Dipertandingkan Di Sukan SEA 2025 Thailand
BACA: Bekas Pembantu Jurulatih KL City Sertai Manchester United
Sumber: TV One News