Thailand: Pembunuh Bersiri Paling Kejam Dalam Sejarah Dijatuhi Hukuman Mati
Seorang wanita Thailand yang disyaki menjadi pembunuh bersiri paling kejam dalam sejarah negara itu dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah pada Rabu.
Hukuman ini dijatuhkan dalam kes pertama daripada 14 perbicaraan pembunuhan melibatkan tuduhan meracun mangsa menggunakan sianida.
Tertuduh, 36, seorang individu yang ketagih permainan judi dalam talian, didapati bersalah kerana membunuh mangsanya dengan racun sianida.
Kes ini mencetuskan perhatian apabila pihak berkuasa mengaitkan tertuduh dengan siri pembunuhan yang tidak dapat diselesaikan sejak 2015.

Pada April tahun lalu, tertuduh dan mangsa yang merupakan rakannya bertemu di kawasan berhampiran Bangkok untuk melakukan ritual agama Buddha dengan melepaskan ikan ke Sungai Mae Klong.
Namun, beberapa ketika selepas ritual itu, mangsa rebah dan meninggal dunia, di mana pemeriksaan lanjut menemui kesan sianida dalam tubuhnya.
Kes ini menjadi titik mula penyiasatan lebih mendalam, yang akhirnya mendedahkan tertuduh sebagai dalang kepada siri pembunuhan lain menggunakan racun yang sama.
Polis menyatakan tertuduh membiayai ketagihan judinya dengan meminjam wang daripada mangsa-mangsa, termasuk sejumlah besar 300,000 baht (kira-kira RM120,000).
Setelah meminjam, tertuduh akan meracun mangsa sebelum mencuri barang berharga seperti barang kemas dan telefon bimbit.
Tertuduh didakwa menipu 15 individu, termasuk satu mangsa yang terselamat, dengan memberi mereka “kapsul herba” yang telah diracun.
Mahkamah akhirnya memutuskan tertuduh bersalah dan hukuman mati adalah wajar.
Dalam pada itu, bekas suami tertuduh yang juga seorang leftenan kolonel polis, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan, manakala bekas peguamnya pula dipenjara dua tahun atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan mangsa.
Tertuduh kini menghadapi 13 lagi perbicaraan pembunuhan dan lebih 80 tuduhan lain, yang menjadikannya antara kes jenayah paling mengejutkan di negara itu.
BACA: Mahu Derma Buah Pinggang Untuk Anak, Netizen Sebak Bapa Sanggup Berhenti Merokok
BACA: “Ibuku Classmatesku..”, Dua Beranak Terima Ijazah Raih Perhatian Ramai
BACA: Fattah Amin Kini Ketua Eksekutif Pemasaran Pak Mat Western
Sumber: AFP