Apa Itu ICC & Bagaimana Waran Tangkap Berfungsi? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Dunia ini pernah sunyi daripada sebarang konflik, yang adakalanya melibatkan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa yang besar.
Setiap hari, ada sahaja berita-berita menyayat hati, seperti jenayah perang dan penghapusan etnik yang kita baca dan dengar menerusi laporan-laporan media.
Malangnya, pelaku-pelaku jenayah ini biasanya merupakan individu berprofil tinggi dan sukar untuk dipertanggungjawabkan, lebih-lebih lagi ketika mereka berkuasa.
Disini, lahirlah sebuah mahkamah di peringkat antarabangsa yang cuba mengadili mereka yang terlibat dengan jenayah ini mengikut lunas undang-undang.
Jadi kali ini, Siakap Keli hendak berkongsi dengan anda semua beberapa fakta menarik mengenai mahkamah tersebut yang dikenali sebagai Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ditubuhkan sebagai satu badan undang-undang
Mahkamah Jenayah Antarabangsa atau ICC ditubuhkan pada 17 Julai 1998 sebagai sebuah perjanjian antarabangsa di bawah Statut Rom, yang dianggotai 124 negara anggota.
Terletak di Hague, Belanda, mahkamah ini kemudian mula berkuat kuasa pada Julai 2002.
Penubuhan ICC bertitik tolak daripada adanya keperluan kepada sebuah mahkamah antarabangsa kekal yang dapat membicarakan kes jenayah yang berlaku ketika perang.
Misinya mudah, mahu ‘menamatkan’ kebebasan yang dinikmati oleh pelaku jenayah-jenayah paling kejam yang membimbangkan komuniti antarabangsa.
Menurut NPR, pengadilan ICC tertumpu kepada empat fokus jenayah iaitu jenayah kemanusiaan, genosid, jenayah pencerobohan dan jenayah perang.
18 orang hakim dilantik dari negara berbeza
Mankala kes pula diadili oleh 18 orang hakim daripada negara berbeza yang dilantik oleh negara-negara anggota.
Setiap hakim berkhidmat selama sembilan tahun dan lantikan mereka tidak boleh diperbaharui.
Setakat ini, ICC sudah pun mengeluarkan sebanyak 59 waran tangkap. Seramai 21 orang pelaku telah dihadapkan ke mahkamah tersebut untuk diadili.
Daripada jumlah tersebut, ICC sudah menjatuhkan sebanyak 11 sabitan dan empat dibebaskan. Manakala dakwaan jenayah terhadap tujuh individu digugurkan selepas kematian mereka.
Bagaimanapun menurut ICC, seramai 30 orang individu yang dikenakan waran tangkap masih bebas dan belum ‘dapat’ dibawa ke mahkamah untuk diadili.
Apabila pelaku tidak dapat dihadapkan ke mahkamah, ICC menyimpulkan bahawa ”hujahan undang-undang boleh dibuat, tetapi perbicaraan tidak boleh dimulakan”.
Bagaimana waran tangkap berfungsi?
ICC tidak mempunyai sistem kepolisian sendiri untuk menjalankan tangkapan ke atas individu-individu yang dikenakan waran tangkap.
Oleh itu, mahkamah berkenaan amat bergantung kepada kesediaan sesebuah negara, terutamanya negara-negara anggota Statut Rom untuk memberi sokongan dan melakukan tangkapan bagi pihaknya.
Secara teorinya, negara-negara anggota wajib melakukan tangkapan ke atas individu-individu yang mempunyai waran tangkap ICC yang berada di wilayah mereka.
Antara negara yang tidak menjadi anggota kepada perjanjian itu adalah negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Rusia.
Secara umumnya, pelaku-pelaku masih boleh bergerak bebas ke negara-negara bukan anggota dan mengelak daripada ditangkap serta dihadapkan ke ICC.
Selain itu, ICC juga bergantung kepada negara lain untuk memindahkan pesalah-pesalah yang ditangkap ini ke pusat tahanannya.
Pada masa yang sama, bantuan negara-negara turut diperlukan untuk membekukan aset-aset pelaku dan menguatkuasakan hukuman yang diputuskan oleh ICC.
BACA: Pemain Gitar Kumpulan Spider, Napie Meninggal Dunia