Pemain Gitar Kumpulan Spider, Napie Meninggal Dunia
Pemain gitar utama kumpulan Spider, Hanafi Hamdan atau lebih dikenali sebagai Napie dilapor meninggal dunia pada usia 51 tahun.
Berita dukacita ini turut disahkan oleh isterinya, Norasidah Said.
Menurut Astro Awani, Allahyarham yang juga jurutera bunyi di Studio Luncai Emas milik seniman Datuk M Nasir menghembuskan nafas terakhir akibat strok kira-kira jam 3.54 pagi (Jumaat) di Hospital Sungai Buloh.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Cahaya Iman pada jam 9 pagi
“Sekitar 12 tengah malam tadi, suami saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan pada pukul 3.54 pagi beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata Norasidah seperti yang dilaporkan dalam Astro Awani.
Tambah Norasidah, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang untuk urusan kafan dan solat jenazah pada 9 pagi ini.
Allahyarham kemudian difahamkan akan dikebumikan selepas Solat Jumaat.
Menurut Astro Awani, selain isteri, Allahyarham turut meninggalkan tiga cahaya mata.
Manakala mana-mana kenalan Allahyarham boleh terus ke masjid berkenaan untuk memberikan penghormatan terakhir.