Pusat Sains Satelit, MOSTI Inisiatif Kerajaan Dekatkan Masyarakat Kepada Pendidikan STEM
Kundasang, Sabah, 23 NOVEMBER– YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini mengadakan lawatan kerja ke ke Pusat Sains Negara (PSN) Satelit – Taman Eko Sains bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang, Sabah.
Taman Eko Sains SK Kundasang telah dibangunkan sebagai PSN Satelit untuk menyediakan akses kepada pembelajaran STEM yang menyeronokkan. Sebanyak 14 bahan pameran interaktif berkonsepkan asas sains telah ditempatkan di lokasi ini, bagi memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat tempatan untuk meneroka pelbagai aspek sains secara langsung.
Menurut YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, “PSN Satelit seperti Taman Eko Sains ini memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan sains dapat dicapai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar. Keupayaan sekolah ini untuk menyelaraskan usaha bersama PSN mencerminkan komitmen tinggi guru-guru dan komuniti setempat terhadap pengukuhan ilmu STI.”
“PSN Satelit ini dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar di kawasan pedalaman Sabah, mempromosikan pendidikan sains secara santai dan menarik. Ia juga mengukuhkan peranan PSN sebagai agensi MOSTI yang komited menyebar luas pengetahuan STI ke seluruh pelosok negara.”
Lawatan kerja ini turut bertujuan memberi penghargaan kepada guru-guru SK Kundasang atas usaha gigih mereka dalam memastikan PSN Satelit ini beroperasi dengan efektif. Semasa lawatan kerja ini, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menyerahkan plak penghargaan dan kit pendidikan STEM kepada Puan Johana Esan Kong, Guru Besar SK Kundasang.
Kit Pendidikan STEM yang disumbangkan oleh Pusat Sains Negara (PSN) merupakan inisiatif berinovasi untuk memperkasa pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) secara kreatif dan interaktif. Kit ini direka khas untuk pelajar sekolah sebagai alat bantu belajar yang menggalakkan eksplorasi kendiri, penyelesaian masalah, dan pemikiran kritis.
Bersempena lawatan ni, PSN juga mengadakan aktiviti STEM Challenge, Bengkel Paperplane Launcher dan sesi perkongsian bersama YBrs. Dr. Jurry Foo, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Kemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS). Sesi perkongsian ini merupakan Program STI 1003 yang menghimpunkan 100 orang saintis tempatan ke 100 buah sekolah.
Turut hadir YBhg. Datin Saleha Sakaran, isteri Timbalan Menteri MOSTI,YBrs. Encik Mohammad Fuad Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Ruslan Madisal, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan YBrs. Puan Barizah binti Mohamad Kahar, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau.