China Pilih Malaysia Sambut Tahun Baru Cina 2025
KUALA LUMPUR — Malaysia dipilih selaku tuan rumah oleh China bersempena acara sambutan Tahun Baru Cina, yang pertama kali diadakan di luar dari negara Tembok Besar itu, lapor Sinar Harian
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli ketika penganjuran China International Travel Mart di Shanghai.
“Beliau juga mengumumkan bahawa acara Selamat Tahun Baru Cina yang terkenal, penuh dengan tradisi Cina akan diadakan di luar negara buat kali pertama pada 23 Januari, bertepatan dengan ‘Tahun Baru Kecil’.
“Malaysia telah dipilih sebagai negara tuan rumah dan persiapan sedang giat dijalankan.
“Pihak China pula telah mula memuktamadkan senarai penghibur yang akan mengambil bahagian dan menggesa Malaysia untuk memberikan sokongan dan memaksimumkan kempen promosi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Tambah King Sing, beliau menyifatkan bahawa kedua-dua negara mempunyai pertalian budaya yang mendalam.
Sehubungan itu, hubungan dua hala ini tentunya bakal menyerlahkan usaha aktif China mengindustrikan sektor kebudayaan.
Dalam masa yang sama, kedua-dua negara dapat mempelajari dan meneroka pembangunan secara bersama dalam bidang itu.
“Melangkah ke hadapan, kita boleh meneroka kerjasama yang lebih mendalam termasuk platform pertukaran budaya untuk pelajar dan mengalu-alukan pelaburan China dengan tujuan meningkatkan tarikan destinasi Malaysia.
“Dengan mengambil inspirasi daripada kemajuan budaya China, Malaysia berhasrat untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan datang,” katanya.
Katanya lagi, Malaysia dan China sekali lagi akan bekerjasama tahun ini selepas kejayaan inskripsi bersama “Majlis Wangkang” dalam senarai warisan ICH UNESCO pada 2020.
Tambahnya, tarian singa bakal dicalonkan untuk pengiktirafan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Sementara itu, menteri pelancongan itu turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, Yu In Chon.
Dalam pertemuan itu, Korea Selatan dan Malaysia bakal menjadi tuan rumah bersama Festival Muzik ASEAN-Korea (Festival ROUND 2025).
“Sementara itu, Korea Selatan pula akan menubuhkan pusat kebudayaan di Kuala Lumpur tahun depan untuk menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan, seterusnya mempromosikan pertukaran budaya.
“Dalam perbincangan ini, saya telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk mengambil langkah yang lebih proaktif dan mewujudkan platform kerjasama untuk memupuk pertukaran budaya serta kesenian lebih mendalam dengan China dan Korea Selatan,” maklumnya lagi.
Sumber: Sinar Harian