Siakap Keli
panduan ditahan imigresen
Kredit: Yusrina Yusup

Semua Kena Lengkap, Wanita Kongsi Panduan Lakukan “Solo Travel” Di Luar Negara

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Semua Kena Lengkap, Wanita Kongsi Panduan Lakukan “Solo Travel” Di Luar Negara

Melihat keindahan dan kelainan budaya di negara luar menjadi impian sesiapa sahaja. Apatah lagi jika tempat tersebut masih mengekalkan bangunan lama, budaya tradisi, ditambah dengan cuaca dan suasana yang sangat berbeza dengan kita di sini.

Namun, batas kemampuan dan kekuatan fizikal pasti membuatkan ramai wanita di luar sana membatalkan hasrat melancong apabila tidak mempunyai teman. Faktor keselamatan dan kejadian yang tidak diduga ketika di tempat orang sememangnya menakutkan.

Biarpun dunia di luar sana kedengaran begitu menggerunkan, ketahuilah masih ada jalan buat wanita yang teringin melancong secara solo. Seorang penggemar tegar melancong secara solo, Yusrina Yusup berkongsi beberapa tip dan panduan berguna buat anda yang baru berjinak dengan aktiviti ini.

BACA: Nak Bawa Anak Tunai Umrah? Ini Persediaan Penting Ibu Bapa Perlu Tahu

Menerusi perkongsiannya di laman Facebook, Yusrina menceritakan kisahnya ditahan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Arlanda, Stockholm.

“Masa tu travel solo. Penerbangan dari Istanbul ke Stockholm naik Pegasus Airline. Dapat agak murah masa tu jadi hasratnya nak buat lawatan singkat di Scandinavia.

“Soalan imigresen agak skeptikal memandangkan saya seorang diri,” kongsinya.

Disebabkan sudah biasa melancong secara solo, Yusrina menunjukkan bukti tempahan hotel dan tiket penerbangan ke bandar seterusnya dengan tenang. Namun, kesemua itu tidak dapat ‘memenangi’ hati pegawai tersebut.

“Agak lama sangkut di situ sampai barisan di belakang pun dah panjang. Lama dia tengok pasport walaupun dah penuh cop dalam tu. Masih dia buat muka tak puas hati.

“Akhirnya saya cakap, do you need to see my return ticket to Malaysia?

“Masa ni muka dia macam okay sikit. Tadi berkerut je. Lepas tengok (tiket) terus dia cop pasport sambil tersenyum masa pulangkan pasport,” tambah Yusrina.

BACA: Pasport Hilang Ketika Melancong, Apa Nak Buat? Ikut Langkah Ini

Rupa-rupanya, ini bukan kali pertama Yusrina berhadapan situasi berkenaan.

Ketika ditanya SK, Yusrina memberitahu dia pernah beberapa kali ditahan pihak imigresen negara lain ketika melancong secara solo. Kali pertama berlaku ketika Yusrina melancong ke London, dan selepas itu ketika melancong di Almaty.

“Di Lapangan Terbang Terbang Heathrow, saya disoal siasat agak lama. Semua dokumen diberikan dan saya beritahu ada teman yang sedang belajar di UCL. Barulah dilepaskan.

“Pengalaman kedua ditahan agak lama ketika di Almaty. Setelah sekian lama tiada isu, kali ini terkena lagi. Masa ni dalam perjalanan pulang dari Almaty ke Ankara, Turki. Pegawai di sana cakap saya perlukan visa.

“Saya jawab dengan yakin yang warga Malaysia tak perlukan visa untuk melawat Kazakhstan dan Turki. Pegawai tu tak berpuas hati. Saya diminta ke tepi sambil kawannya carikan maklumat visa. Setelah beberapa minit, akhirnya pasport saya dicop dan boleh terbang kembali ke Turki,” kongsi Yusrina.

Berikutan pengalaman-pengalaman ini, Yusrina menyimpulkan beberapa panduan ringkas buat wanita yang ingin melancong secara solo menghadapi situasi ini.

Panduan ringkas hadapi situasi ditahan imigresen

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah sediakan semua dokumen perjalanan dengan rapi seperti tiket penerbangan, bukti tempahan hotel dan itinerari. Menurutnya, lebih baik jika anda cetak kesemuanya dan dijadikan buku ringkas. Jika anda ingin jimatkan ruang, boleh juga anda simpan kesemua dokumen tadi dalam telefon bimbit anda menggunakan satu fail.

Yusrina turut kongsikan kepada SK contoh buku scrap yang diilhamkan daripada rakannya, Nurshalini Mohd Nizam Edros. Mereka melancong bersama-sama ketika ke Rusia baru-baru ini.

panduan ditahan imigresen
Kredit: Yusrina Yusup

 

Kredit: Yusrina Yusup

BACA: Tersergam Indah, Kenali Masjid Ali Yang Diiktiraf UNESCO

Perkara kedua pula ialah tampil dengan yakin dan jangan gementar.

“Sebab kita tak ada niat nak buat kerja haram, jadi be confident,” ujarnya.

Anda juga dinasihatkan untuk jaga intonasi suara ketika bercakap dengan pegawai di sana.

“Walaupun anda tengah marah atau tak puas hati, jangan tunjuk riak tak puas hati. Kena tenang,” kata Yusrina.

Kemudian, anda perlu pastikan ada bawa bersama bukti yang anda tidak berniat untuk kekal di sana.

“Yang ini, boleh tunjuk kad kerja. Kalau bekerja sendiri, bawa bukti SSM ke, atau maklumat tentang pekerjaan kita,” pesannya lagi.

Perkara terakhir yang perlu anda lakukan ialah sentiasa berdoa supaya segala urusan dan perjalanan anda dipermudahkan.

Selain daripada panduan ringkas menghadapi situasi ditahan imigresen, Yusrina turut berkongsi beberapa tip buat wanita yang ingin memulakan perjalanan melancong secara solo.

Panduan mulakan melancong secara solo

Pertama sekali anda perlu lakukan banyak kajian sendiri. Baca penulisan orang lain, tengok vlog, turut serta dalam banyak forum atau kumpulan untuk dapatkan maklumat. Menurutnya, sewaktu dia baru lagi dalam hobi ini, Yusrina banyak bertanya dalam kumpulan couchsurfing.

Perkara kedua yang perlu diambil berat ialah persediaan maklumat dan dokumen tambahan yang lengkap.

“Ada tiket pergi dan balik, ada bukti yang menunjukkan kita bukan datang untuk bekerja di sana,” katanya.

Menurutnya lagi, anda perlu bersedia untuk jaga diri. Perkara ini amat penting kerana jika anda jatuh sakit di sana, anda perlu menghadapi semuanya sendiri.

Selain itu, anda juga perlu sentiasa memaklumkan kepada ahli keluarga tentang pergerakan anda. Dengan cara ini, seandainya berlaku sesuatu, ahli keluarga dapat terus meminta bantuan daripada pihak berkenaan dengan lokasi anda yang tepat.

Akhir sekali, sentiasa pastikan jaringan internet anda berfungsi dengan baik. Sebelum mengakhiri perbualan kami, Yusrina sempat berkongsi pengalaman perit yang dilaluinya disebabkan jaringan internet yang tidak berfungsi.

“Ada satu peristiwa di Almaty. Walaupun tahu paling murah untuk ke bandar ialah dengan menaiki bas atau guna aplikasi Yandex, tetapi disebabkan lapangan terbang Almaty tiada wi-fi dan aplikasi Yandex saya ada masalah, terpaksa naik teksi yang harga dia dua kali ganda lebih mahal dari teksi yang ambil dari Yandex,” kongsinya.

Yusrina turut berhadapan masalah tukaran wang baki apabila wang dalam pegangannya terlalu besar. Jadi, anda juga dinasihatkan agar pastikan wang ditukar kepada nilai yang kecil dahulu. Anda boleh juga menukar wang dengan cara membuat pembelian barangan di mana-mana kedai berdekatan.

“Kalau di negara maju, gunakan kad saja lebih mudah,” ujarnya.

Sumber: Yusrina Yusup

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.