Paras Air Sungai Golok Di Rantau Panjang Lepasi Banjir Teruk ‘Bah Kuning’ 2014
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dilapor melepasi paras bahaya, mengatasi bacaan yang dicatatkan semasa peristiwa banjir teruk yang dikenali sebagai bah kuning pada 2014.
Menurut data daripada laman web Public Info Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan air di sungai tersebut setakat pukul 9 malam tadi berada pada paras 10.97 meter.
Sebagai rekod, bacaan paras air sungai berkenaan semasa peristiwa bah kuning adalah 10.84 meter.
Selain Sungai Golok di Rantau Panjang, paras air di enam lagi sungai di Kelantan turut melepasi paras bahaya.
Sungai-sungai tersebut adalah Sungai Lanas di Air Lanas (31.16 meter), Sungai Kelantan di Kusial Baru (16.27 meter) dan Sungai Kelantan di Kusial (16.02 meter).
Tiga lagi sungai adalah Sungai Kelantan di Kampung Temangan (20.88 meter), Sungai Melor di Jambatan Melor (9.90 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Putih (3.72 meter).
Sementara itu, paras air di lima sungai di negeri tersebut melepas paras amaran dan lapan lagi melepasi paras waspada.
Sumber: Public Info Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sinar Harian