Banyak Benda Kena Cakna, Ini Tip Persediaan Untuk Mendaki Gunung Kinabalu
Kebelakangan ini, aktiviti mendaki semakin mendapat tempat dalam jiwa rakyat Malaysia. Bertepatan dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat, aktiviti ini bukan sahaja sesuai untuk lelaki. Malah wanita juga kini berupaya menyertai aktiviti mendaki.
Dengan persediaan diri dan kelengkapan yang bersesuaian, sesiapa sahaja mampu menyertai aktiviti mendaki. Bermula dari serendah-rendah bukit, sehingga ke gunung tertinggi di rantau Asia Tenggara, Gunung Kinabalu.
Tahukah anda? Persediaan mendaki tidak bermula secara semalaman, apatah lagi jika anda berhasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Vanessa Mering berkongsi panduan sebagai persediaan bagi mereka yang pertama kali ingin mendaki Gunung Kinabalu. Perkongsian di laman Facebook pendaki tegar ini dimulakan dengan perkongsian keadaan di sana.
“Hari pertama jam 8 pagi, (berjalan kaki dari kaki gunung) Pintu Masuk Timpohan ke rumah rehat Laban Rata sejauh enam kilometer. Kalau jalan tenang-tenang, boleh sampai antara pukul 1 hingga 3 petang. Ikut kelajuan dan kemampuan fizikal masing-masing, termasuklah masa untuk swafoto, mengambil video dan gambar pemandangan,” kongsi Vanessa.
BACA: Semua Kena Lengkap, Wanita Kongsi Panduan Lakukan “Solo Travel” Di Luar Negara
Menurutnya, anda disarankan untuk meletakkan sasaran berjalan sejauh satu kilometer untuk satu jam.
“Hari kedua, mula berjalan pada jam 2.30 pagi dari Laban Rata ke puncak iaitu sejauh lebih dua kilometer. Keadaan gelap lagi mencabar. Tak boleh berharap pada cahaya bintang dan bulan. Memang perlu lampu tambahan. Tapi kalau mata kamu ada night mode, terpulang kamu lah. Eh. Tetap juga wajib ada lampu kepala,” tambahnya.
Anda tidak perlu tergesa-gesa untuk mendaki ke puncak Gunung Kinabalu kerana menurut Vanessa, perjalanan yang perlahan juga boleh tiba di puncak sekitar jam 5.30 hingga 6 pagi. Ketika ini, matahari sudah mula kelihatan.
“Waktu yang paling sesuai dan cantik untuk ambil gambar, sekiranya cuaca mengizinkan. Kalau kamu sampai awal dekat puncak pukul 4 hingga 5 pagi, masih gelap lagi. Lepas tu kamu kena tunggu matahari terbit dalam kesejukan di atas sana tu,” seloroh Vanessa.
Perjalanan untuk turun dari puncak ke Laban Rata boleh dimulakan sekitar jam 7 hingga 7.30 pagi.
“11 pagi hingga 12 tengah hari waktu yang sesuai untuk daftar keluar dari Laban Rata dan teruslah mulakan perjalanan balik atau turun ke Pintu Masuk Timpohan.
“Perjalanan balik, cabaran dia lain macam pula. Lagi-lagi bila tak cukup latihan. Saya cerita pasal diri sendiri ni. Konflik diri berlaku. Masa balik dah pandai bercakap sendiri. Bergaduh dengan diri sendiri. Nak cari helikopter lah, turun pakai lif lah, nak itu ini lah.
“Kalau boleh nak sampai bawah secepat mungkin. Kenapa? Hanya yang mengalami akan faham rasa dan perasaan itu,” katanya.
BACA: Pastikan Eja Dengan Betul, Ini Panduan Isi Nama Tempah Tiket Penerbangan
Sebagai dorongan untuk pulang dengan selamat, Vanessa sering berpesan kepada dirinya, “Yang penting, saya mesti sampai dengan selamat.”
Wanita berkenaan turut menitip pesan agar mereka yang ingin mendaki memulakan latihan supaya badan dan otot dapat menahan tekanan perjalanan nanti.
Sebagai latihan, Vanessa meluangkan masanya dua hingga tiga kali seminggu untuk berjalan perlahan, jogging atau kadang kala berlari sejauh lebih kurang lima kilometer. Latihan mendaki pula hanya mampu dilakukan satu kali dalam tempoh dua bulan sebelum mendaki Kinabalu.
“Alasan tak ada masa, tak ada gunung, tak ada bukit, tak ada tangga, semua tu tak boleh pakai. Sebenarnya latihan boleh dibuat di tempat kerja, rumah, dan di mana-mana. Buatlah apa-apa senaman dan latihan. Paling bagus kalau ada tangga.
“Lagi bagus kalau rajin buat squat. Buat banyak kali, setiap hari,” pesannya.
Selain membuat persediaan kecerdasan diri yang dikongsi di atas, wanita berkenaan membahagikan panduan persediaan keperluan dan kelengkapan mendaki pula kepada lima kategori ringkas iaitu pakaian dan penjagaan diri, aksesori, ubat-ubatan, makanan dan minuman, serta keperluan wang tunai.
Keperluan pakaian dan penjagaan diri
Bagi mempersiapkan diri dengan keadaan cuaca sepanjang perjalanan, bawa bersama baju hujan, satu topi snowcap, satu pasang sarung tangan dan tiga pasang sarung kaki. Anda mungkin juga perlukan sarung kaki untuk digunakan semasa tidur kerana menurut Vanessa, keadaan di sana amat sejuk.
Untuk kemeja dan seluar, bawa dua atau tiga pasang mengikut keselesaan diri ketika mendaki nanti.
“Kalau kamu nak pakai satu pasang sahaja sepanjang perjalanan tu terpulang kamu. Bagi wanita, boleh pakai seluar yoga atau apa-apa seluar panjang. Bagi lelaki, pakailah apa kamu suka,” selorohnya.
Vanessa turut berpesan untuk membawa pakaian yang cepat kering, dan elakkan memakai seluar yang berat atau jenis jean. Pendaki tegar ini turut menyenaraikan cadangan pakaian bagi sepanjang perjalanan.
BACA: Tip Tanam Sayur Dalam Botol & Cawan Agar Tumbuh Subur
“Dari kaki gunung ke KM 4.0, boleh pakai kemeja-T sebagai lapisan pertama. Di KM 4.0 hingga KM 6.0 pula, suhu dah mula sejuk. Jadi boleh tambah windbreaker atau jaket jenis bulu biri-biri (fleece) sebagai lapisan kedua. Di KM 6.0 atau di Laban Rata, cuaca semakin sejuk jadi pakai dua hingga tiga lapisan baju (kemeja-T bersama windbreaker dan jaket bulu biri-biri).
“Tiba di KM 6.08 hingga KM 8.0, pakai tiga hingga empat lapisan (kemeja-T bersama jaket bulu biri-biri dan jaket musim sejuk). Tapi kalau dah biasa tempat sejuk dan boleh tahan sejuk, mungkin boleh pakai dua lapisan je.
“Pakai macam mana pun, yang penting adalah semangat dan keinginan nak sampai puncak dengan apa cara sekalipun. Itu lebih penting,” pesannya.
Selain itu, bawa bersama sepasang selipar dan sepasang kasut mendaki. Jika anda tidak mempunyai kasut mendaki, boleh juga gunakan kasut getah atau kasut biasa.
Bagi penjagaan diri pula, jangan lupa untuk bawa bersama berus dan ubat gigi, termasuk sabun mandi, pencuci muka dan lain-lain yang dirasakan perlu.
Keperluan aksesori
Beberapa aksesori yang dicadangkan Vanessa sangat diperlukan. Antaranya lampu kepala kerana menurutnya, dari KM 6.0 hingga KM 8.0, keadaan gelap kerana mula mendaki pada jam 2.30 pagi. Bawa bersama tongkat mendaki.
“Bawa sendiri atau sewa di Taman Kinabalu. Harga beli di kedai RM30 ke atas, sewa di Taman Kinabalu pula RM10,” maklumnya.
Sebagai tambahan, anda boleh juga bawa lampu suluh dan pengecas mudah alih atau powerbank. Bagi anda yang suka bergambar dan merakam video, anda digalakkan untuk bawa pengecas mudah alih.
Keperluan ubat-ubatan dan rawatan
Biarpun anda sudah melakukan latihan yang banyak sebelum mendaki Gunung Kinabalu, tidak salah untuk anda bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Bawa bekalan ubat paracetamol, ubat gastrik, dan ubat cirit-birit atau pil Chi Kit Teck Aun.
Anda juga dinasihatkan untuk bawa bersama pil altitud. Pil ini penting bagi mengurangkan simtom mabuk altitud atau acute mountain sickness (AMS).
“Beli di farmasi dan beli awal tau. Kalau minggu depan nak naik, minggu ni atau dua tiga minggu sebelum dah mula cari dan beli. Sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi,” pesan Vanessa.
Selain itu, anda boleh juga bawa bersama ubat sapu Yoko-yoko dan plaster luka.
Keperluan makan dan minum
Menerusi perkongsian Vanessa, penting untuk anda bawa bersama makanan ringan dan kudapan, termasuk bar tenaga ketika mendaki.
“Ini adalah penyelamat anda, penting semasa pendakian. Kalau rasa lapar, makan. Kalau haus, minum,” tegasnya.
Vanessa mencadangkan supaya anda bawa dua hingga tiga botol air 500 mililiter supaya lebih mudah untuk anda pegang dan minum.
“Kalau nak bawa yang besar, terpulang kamu. Asalkan selesa dan tak membebankan,” ujarnya.
Keperluan wang tunai
Sebagai persediaan terakhir untuk anda mendaki Gunung Kinabalu, bawa bersama anda sekurang-kurangnya RM300 wang tunai. Ini diperlukan untuk membayar upah kepada porter atau digunakan untuk pembelian barang apabila tiba di Taman Kinabalu.
“Porter ni yang akan tolong bawa barang atau beg naik turun gunung. Sebab makin ringan, makin mudah atau selesa pergerakan mendaki dan turun. Upah porter sekitar RM14 per kilogram mengikut harga pada tahun 2023,” maklumnya.
Sumber: Vanessa Mering