M&M Ventures Holdings Sdn Bhd secara rasmi melancarkan majlis pecah tanah untuk BEKL, singkatan kepada Bali Escape Kuala Lumpur.
BEKL ialah taman komersial baharu yang direka untuk membawa sesuatu yang luar biasa ke teras segitiga emas Kuala Lumpur melalui konsep revolusi pengalaman membeli-belah dan riadah.
Projek bernilai RM50 juta ini akan mengubah empat ekar tanah utama di Bukit Bintang menjadi kompleks bersepadu yang menggabungkan gaya hidup, budaya, dan komersial moden dalam persekitaran yang mencantumkan ketenangan tropika dengan kehidupan bandar yang sibuk di Kuala Lumpur.
Majlis ini menandakan pencapaian utama dalam pembinaan pembangunan baharu ini yang menjanjikan untuk membawa suasana yang diilhamkan dari Bali ke tengah kota metropolitan yang sibuk.
Destinasi ini dijangka menjadi tarikan pelancong serta tempat santai untuk penduduk tempatan dan keluarga.
BEKL akan menawarkan pengalaman membeli-belah yang berbeza daripada taman komersial lain di Kuala Lumpur.
Ini memenuhi keperluan semua dengan sajian makan terbuka, kedai fesyen terkenal, pusat sukan popular, bazar artisan, dan ruang seni.
“Kami ingin melihat BEKL bukan sekadar taman komersial tetapi ruang untuk meneroka, berkongsi, dan keramaian.
“Kami ingin membina sebuah tempat yang menarik untuk mereka yang mencari riadah dan membeli-belah, sambil menawarkan pengalaman budaya dan tropika yang unik di tengah-tengah Kuala Lumpur,” kata Chris Stanley, Ketua Pegawai Operasi, M&M Ventures Holdings Sdn Bhd, dalam ucapan pembukaannya.
Sementara itu, Pengarah Sportizza, Chiew Chun Yong berkata tidak seperti mana-mana taman komersial lain, BEKL memberi tumpuan kepada membangunkan tempat di mana orang ramai boleh meluangkan masa riadah mereka.
Beliau berkata melalui konsep unik Sun-Up to Sun-Down Bazaar yang diilhamkan dari budaya Asia Tenggara dan Timur Tengah, pusat ini akan memenuhi pelbagai cita rasa.
Pengarah International Food Hall, Adrian Loke berkata pihaknya berbangga membawa BEKL ke dalam konsep Food Connect, iaitu gabungan masakan yang mesra Muslim untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Beliau berharap dengan gabungan rasa tempatan dan antarabangsa yang autentik, ia akan menjadi tempat komuniti di mana orang ramai datang untuk berhubung, meneroka, dan berkongsi melalui makanan.
Somsak Tan, selaku pemilik Caffè Lusso dan Abeh Mart berkata pihaknya komited untuk menyediakan akses pantas kepada keperluan harian sambil mengetengahkan produk terbaik Malaysia, dengan 70 peratus hingga 75 peratus daripada inventori adalah sumber tempatan untuk memenuhi keperluan pembeli tempatan dan pelancong antarabangsa.
Taman ini dijangka dibuka pada suku ketiga 2025 dan diramalkan akan mengubah pengalaman membeli-belah dan gaya hidup di Malaysia.
Landskap tropika BEKL, bersama gaya seni bina moden, akan menarik pengunjung dengan pengalaman unik dari hiruk-pikuk kehidupan bandar kepada ketenangan dalam persekitaran bertemakan tropika.
Majlis pecah tanah ini turut disaksikan juga oleh Dominic Tan selaku Ketua Pegawai Eksekutif, M&M Ventures Holdings Sdn Bhd.