Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Tiada Kelibat Pemain Utama JDT, Ini Senarai 26 Pemain Harimau Malaysia Ke Piala AFF

Tiada Kelibat Pemain Utama JDT, Ini Senarai 26 Pemain Harimau Malaysia Ke Piala AFF

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mendedahkan senarai penuh 26 pemain yang akan menyarung jersi kebangsaan ke Piala AFF Mitsubishi nanti.

Apa yang mencuri tumpuan adalah tiada kelibat mana-mana pemain utama dari skuad gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang disenaraikan.

“Ini merupakan pilihan pasukan terbaik yang dapat dikumpulkan memandangkan cabaran yang dihadapi bagi kejohanan ini yang diadakan di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.

“Dalam tempoh ini juga, Liga Malaysia akan diteruskan seperti yang dijadualkan, sekali gus menambah kerumitan untuk mendapatkan pemain,” kata FAM.

Tiada kelibat pemain utama JDT ke Piala AFF

Menurut badan induk bola sepak negara, skuad ini menggabungkan keseimbangan antara pemain berpengalaman dengan pemain muda berusia 23 tahun ke bawah.

Difahamkan, purata umur skuad ini adalah 25.9 tahun.

“Seramai 12 pemain dari skuad 26 pemain bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India pada 14 dan 18 November lalu akan mengetuai skuad kali ini.

“Turut tampil adalah  pemain muda berpotensi antaranya Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil.

“Skuad ini turut menampilkan muka baharu lain seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri,” kata FAM lagi.

Bagaimanapun, senarai 26 pemain tersebut masih boleh diubah sebelum pendaftaran akhir 26 pemain untuk kejohanan ini yang perlu dimuktamadkan pada 7 Disember.

Senarai masih boleh diubah jika ada kecederaan

Jika terdapat perubahan dalam senarai asal di atas kerana terdapat masalah kecederaan atau sebab-sebab lain, ia masih boleh digantikan dengan pemain-pemain lain.

Difahamkan, penggantian perlu dibuat berdasarkan senarai pendaftaran awal 50 pemain yang telah didaftarkan ke Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sebelum ini.

“FAM merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada kelab-kelab yang terlibat atas kerjasama dan sokongan mereka dalam melepaskan pemain-pemain yang dipilih.”

Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan A bersama-sama dengan Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor Leste di kejohanan berkenaan.

Perlawanan pertama untuk Harimau Malaya akan berlangsung pada 8 Disember, bertemu dengan Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh.

BACA: Beza Banyak, Ini Trik Nak Jimat Hingga RM25,000 Bila Beli Kereta Baru

Sumber: FAM

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.