Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Batu Sempadan Berusia Lebih 100 Tahun
Persempadanan sesebuah kerajaan lazimnya berdasarkan sungai atau banjaran yang membahagi kedua kawasan. Di utara, sempadan antara negeri Pulau Pinang dan Kedah ditanda dengan Sungai Muda sementara Sungai Bernam menjadi sempadan antara negeri Perak dan Selangor.
Bagaimana pula dengan sempadan yang tidak mempunyai sebarang permukaan bumi yang dapat membezakan kawasan bagi kerajaan yang berbeza? Zaman berganti zaman, batu persempadanan mula digunakan sejak lebih 100 tahun yang lalu.
Ikuti perkongsian daripada penyelidik Persatuan Kartografi Melaka, Saudara Shahrul Azzim Abd Aziz berikut.
Penyelidik Persatuan Kartografi Melaka Shahrul Azzim Abd Aziz (Encik Kartografi) bersama penduduk tempatan, Encik Azmi Yunus pada hari ini berpeluang menjejaki dua buah batu sempadan lama yang menjadi penanda kepada sempadan antara negeri Melaka dengan Johor Darul Ta’zim. Kedua-dua buah batu sempadan tersebut dianggarkan berusia lebih 100 tahun dan ia terletak di Kg. Relau, Asahan.
Terdapat ukiran informasi yang sama di kedua-dua buah batu sempadan lama tersebut yang merangkumi anak panah, akronim B.S. yang mungkin membawa maksud sebagai ‘boundary stone’ dan juga ukiran tahun 1899 (Berkemungkinan tahun batu sempadan tersebut diletak atau didirikan).
BACA: Persatuan Kartografi Melaka Jejaki Bekas Kubu Tengkera
Kedudukan batu sempadan tersebut yang diukir dengan tahun 1899 juga tercatat dan dipaparkan di dalam naskah kartografi lama bertajuk Map of the Malacca Territory yang diterbitkan pada tahun 1916. Di dalam peta lama tersebut, kedudukan batu sempadan lama tersebut di label dengan nombor 1899 sama seperti yang terdapat pada permukaan batu bersejarah tersebut.
Sebelum ini, pasukan penyelidik Persatuan Kartografi Melaka juga telah menjejaki tiga buah batu sempadan lama dalam eksplorasi sekitar Asahan antaranya ialah batu sempadan Melaka dengan Johor yang terletak di Kg. Relau, Asahan (Tahun 1899) yang bersaiz lebih besar, batu sempadan Melaka dengan Johor yang terletak berhampiran Laman Tiga Budaya (Tahun 1899) dan batu sempadan Melaka dengan Negeri Sembilan yang terletak berhampiran Bangkong Chondong (Tahun 1901).
Kesemua batu sempadan yang berusia lebih 100 tahun ini haruslah sentiasa dipulihara agar tidak musnah ditelan zaman selain menjadi sebahagian daripada warisan sejarah yang mampu menggamit para pelancong untuk datang ke sini.
BACA: Nama Tercatat Dalam Peta Lama, Persatuan Kartografi Melaka Jejaki ‘Cotot’
BACA: Tercatat Dalam Naskhah Kartografi, Laluan Lama Hubungkan Melaka & Johor Dijejaki
Sumber: Persatuan Kartografi Melaka