“Ini” Negara Pertama Dijangka ‘Pupus’ Dari Dunia, Tak Sangka Ini Sebabnya
Bayangkan sebuah negara yang dahulunya terkenal dengan pembangunan ekonomi pesat kini berada di ambang kepupusan.
Inilah cabaran yang sedang dihadapi oleh Korea Selatan, sebuah negara yang dijangka menjadi yang pertama ‘pupus’ dari dunia akibat krisis kadar kelahiran yang semakin merosot.
Menurut The Economic Times, segalanya bermula pada 1960-an, apabila kerajaan Korea Selatan memperkenalkan dasar perancangan keluarga untuk mengawal pertumbuhan penduduk.
Ketika itu, kadar kelahiran adalah sekitar 6 anak bagi setiap wanita, dengan pendapatan per kapita negara hanya 20 peratus daripada purata global.
Dasar tersebut berjaya mengurangkan kadar kelahiran kepada 2.4 pada tahun 1982, sebelum turun ke paras penggantian sebanyak 2.1 pada 1983.
Namun, apa yang dimulakan sebagai ‘langkah terkawal’ kini berubah menjadi krisis besar.
Menjelang akhir abad ini, populasi Korea Selatan dijangka menyusut daripada 52 juta kepada hanya 17 juta, dan dalam senario terburuk, mungkin hanya 14 juta akan kekal.
Wanita negara “ini” enggan berkahwin & berkeluarga
Kerajaan menawarkan pelbagai insentif seperti subsidi kewangan, pelepasan cukai dan pengecualian perkhidmatan tentera bagi lelaki yang mempunyai tiga anak sebelum usia 30 tahun.
Namun, usaha ini tetap gagal menarik minat rakyat untuk berkeluarga.
Sebahagian besar wanita di kawasan bandar memilih untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya berbanding membina keluarga.
Berdasarkan kajian kerajaan pada 2023, lebih 50 peratus responden wanita menyebut “beban keibubapaan” sebagai halangan utama.
Tambahan pula, ‘peranan tradisional’ dalam perkahwinan menjadi penghalang besar.
Kajian pada 2024 mendapati 93 peratus wanita Korea Selatan enggan berkahwin kerana terpaksa menanggung bebanan kerja rumah dan penjagaan anak secara tidak seimbang.
Selain itu, ketidakseimbangan jantina juga menjadi isu utama dalam krisis ini.
Walaupun wanita semakin menuntut hak kesaksamaan, budaya patriarki (sistem masyarakat yang sebahagian besar kuasa dipegang oleh kaum lelaki) masih mendalam.
92 peratus wanita masih melakukan kerja rumah pada hari bekerja, berbanding hanya 61 peratus lelaki.
Tambahan pula, The Economic Times melaporkan keadaan ini diperburukkan lagi oleh iklim politik yang memihak kepada golongan lelaki.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol pernah mencadangkan pemansuhan kuota jantina, dengan menyatakan bahawa feminisme menjadi punca perpecahan hubungan antara lelaki dan wanita.
Dengan Korea Selatan berada di kedudukan 94 daripada 146 negara dalam indeks kesaksamaan jantina global, tekanan terhadap wanita untuk memilih antara kerjaya atau keluarga terus meningkat.
Penyelesaian masih terhad
Bagi banyak negara maju, imigrasi sering menjadi penyelesaian kepada kadar kelahiran yang rendah.
Namun, Korea Selatan masih bergelut untuk menarik pendatang asing. Hanya 4 peratus tenaga buruh di negara tersebut terdiri daripada pekerja asing.
Fenomena “perkahwinan migrasi” turut meningkat apabila lelaki Korea Selatan, terutama di kawasan luar bandar, mencari pasangan dari luar negara seperti Vietnam.
Perkahwinan ini membantu mengimbangi jurang jantina. Namun, isteri migran sering menghadapi cabaran, termasuk diskriminasi dan kawalan kewangan yang ketat dalam rumah tangga.
Krisis fertiliti Korea Selatan bukan sekadar isu demografi tetapi cerminan ketidakseimbangan jantina dan konflik budaya.
Jika negara ini gagal mengatasi jurang ini dan mencipta persekitaran di mana kedua-dua jantina boleh berkembang secara adil, masa depan Korea Selatan mungkin terus suram.
BACA: Perkhidmatan Feri Labuan-Kota Kinabalu Disambung Semula 15 Dis
BACA: Ini Kata Pelajar Mat Saleh Tentang Budaya Mamak Di Malaysia, Perkongsian Tarik Perhatian Ramai
BACA: Penyanyi Wanita Meninggal Dunia Dipercayai Selepas 3 Sesi Urutan
Sumber: Economic Times