Ini Kata Pelajar Mat Saleh Tentang Budaya Mamak Di Malaysia, Perkongsian Tarik Perhatian Ramai
Sebagai rakyat Malaysia, kita mungkin sudah terbiasa dengan ‘budaya mamak’, tempat lepak sambil menikmati teh tarik dan roti canai.
Namun, perkara yang kita anggap biasa atau norma harian ini kadang mungkin sebenarnya sesuatu yang sangat istimewa di mata orang luar.
Baru-baru ini, seorang pelajar Mat Saleh berkongsi pengalaman dan pendapatnya tentang budaya mamak di Malaysia.
Siapa sangka, kisahnya itu menarik perhatian ramai, dan ada juga yang merasa ‘tersentuh’.
Dalam satu video TikTok dikongsi pengguna TikTok @notmekbyee, pelajar ini berkongsi rasa kagumnya terhadap apa yang dianggap biasa oleh kita semua.
Menurutnya, budaya mamak adalah salah satu perkara pertama yang membuatkan dia jatuh cinta dengan Malaysia.
“Sebagai pelajar antarabangsa di Malaysia, ada satu perkara yang saya kagum. Mungkin ramai orang Malaysia sendiri tidak menyedarinya,” tulisnya.
Dia menjelaskan bagaimana suasana santai di kedai mamak membuatkan dia rasa diterima.
“Restoran mamak ada di mana-mana bandar, dan suasananya sangat selesa. Cara mereka ambil pesanan macam kita dah lama kenal. Ia sangat berbeza dengan tempat makan di negara saya,” jelasnya.
‘Mamak’ bukan sekadar tempat makan
Budaya mamak ini, katanya, bukan sekadar tempat makan.
Ia adalah ruang sosial di mana semua orang, tak kira bangsa, agama atau latar belakang boleh berkumpul, berbual dan menikmati makanan bersama.





Perkongsian ini mendapat lebih 200 ribu tontonan di TikTok, dan ruangan komen dipenuhi dengan cerita serta pengalaman rakyat Malaysia sendiri.
“Dekat kedai mamak, semua orang jadi bos,”
“Kalau selalu pergi kedai mamak yang sama, abang mamak boleh kenal muka kita. Kadang-kadang dapat teh tarik percuma,”
“Ayah saya dah jadi pelanggan tetap satu kedai mamak selama 13 tahun. Dah macam keluarga kedua,”
“Dulu masa belajar di UK, rindu sangat nak lepak mamak tengah malam dengan kawan-kawan. Suasana tu memang tak dapat kat tempat lain,”
“Tak sedar betapa berharga budaya mamak sampai saya pindah ke luar negara. Balik Malaysia, mamak jadi tempat pertama saya nak pergi,”
Seperti biasa, rakyat Malaysia juga tidak pernah ketinggalan untuk berseloroh.
“Kadang-kadang makanan kedai mamak sedap sangat sampai rasa nak kahwin dengan mamak,”
“Pekerja kedai mamak ja yang ada waktu saya sedih,”
Perkongsian ini membuka mata kita tentang betapa berharganya budaya yang kita miliki.
Budaya mamak adalah salah satu daripada banyak keunikan Malaysia yang wajar kita banggakan dan teruskan.
Imbau saja bila ‘demam sukan’ melanda negara semasa Olimpik yang baru melabuhkan tirai pada Ogos lalu.
Berduyun rakyat kita berkumpul dan bersorak di kedai mamak, bahkan tanpa mengetahui nama atau latar belakang masing-masing.
Hargai pengalaman tersebut, kerana itulah yang menjadikan Malaysia begitu istimewa.
BACA: Dua Sahabat Mula Pengembaraan Berjalan Kaki Dari Perak Ke Mekah Untuk Tunai Haji
BACA: “Niat Nak Bagi Insaf Sikit,” Kucing Kelabu Sebak Tengok ‘Kawan-kawan’ Jadi Mangsa Banjir
BACA: Ramai Teruja Lihat Kumpulan ‘Pendekar Malaysia’ Dalam Kejohanan Hyrox Di Hong Kong
Sumber: TikTok @notmekbyee