Tular, Mat Saleh Banding Malaysia Dengan Bangkok & Eropah
Malaysia sememangnya dikenali sebagai antara destinasi percutian paling menarik di dunia.
Dari bandar moden yang pesat membangun, pulau yang memukau, hinggalah budaya dan makanan yang pelbagai. Semuanya menjadikan negara ini 'magnet' kepada pelancong antarabangsa.
Bagi mereka yang sudah menjelajah banyak negara dan akhirnya menjejakkan kaki ke Malaysia, pengalaman di sini sering menjadi cerita yang manis untuk dikongsi.
Malah, di media sosial, semakin banyak pelancong luar negara berkongsi kisah indah mereka. Bahkan, ada yang bergurau mahu "gatekeep" Malaysia supaya tidak terlalu banjir dengan pelancong lain.
"Tidak seperti kebanyakan bandar lain..." - Mat Saleh
Baru-baru ini, seorang pelancong lelaki menarik perhatian ramai apabila berkongsi pandangannya tentang Malaysia. Menerusi satu video TikTok yang kini tular, dia menyatakan bahawa pengalamannya setakat ini sangat positif.
"Saya suka Malaysia. Setakat ini pengalaman saya di sini memang sangat baik. Orang yang saya jumpa semuanya sangat hebat. Mereka layan saya dengan baik.
"Selain itu, rakyat di sini juga fasih berbahasa Inggeris. Mereka bercakap Inggeris dengan sangat baik. Kita boleh faham apa yang mereka cakap. Orang di sini memang baik, sekurang-kurangnya mereka yang saya jumpa," katanya.
Tidak hanya itu, pelancong ini turut memuji keindahan bandar-bandar di Malaysia yang penuh kehijauan.
Gambar Hiasan (Kredit: BERNAMA)Katanya, tidak seperti kebanyakan bandar yang pernah dilawatinya, bandar di Malaysia mempunyai banyak pokok dan ruang hijau, sesuatu yang jarang ditemui di kota moden.
"Tidak seperti kebanyakan bandar lain yang pernah saya lawati, di sini banyak kawasan hijau. Banyak pokok, dan bagi saya, itu sesuatu yang jarang saya lihat.
"Saya juga menghabiskan beberapa hari di Bangkok. Ia memang menarik, tetapi kualiti udaranya agak rendah. Berbanding dengan Malaysia, udara di sini sangat selesa untuk bernafas. Anda mungkin tidak menjangkakan perkara itu apabila datang ke sini kerana Malaysia sangat maju.
"Sebenarnya, saya rasa di Eropah pun tidak banyak tempat yang ada gabungan bangunan moden dan udara yang bersih seperti ini. Mungkin ada, tetapi tetap, ini memang tempat yang hebat," tambahnya lagi.
"Welcome to Malaysia, brother..." - Netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen Malaysia menyambut baik pujian lelaki ini.
Tidak kurang juga yang mengambil peluang mencadangkan pelbagai destinasi menarik untuk dilawati, termasuk Sabah dan Sarawak di Kepulauan Borneo.