Keadaan cuaca dan kelembapan udara boleh mempengaruhi keadaan kulit seseorang, terutama apabila berada di negara yang mempunyai iklim berbeza.
Perkara itu turut menarik perhatian seorang wanita Uzbekistan yang berkongsi pengalamannya selepas menghabiskan masa selama dua bulan di negara berkenaan sebelum kembali ke Malaysia.
“Kulit kekal lembap...”
Menerusi perkongsian yang tular di Tiktok @maftunaiman, wanita itu menyifatkan cuaca Malaysia sebagai pelembap semula jadi untuk kulit selepas mengalami masalah kulit kering ketika berada di Uzbekistan.
Menurutnya, kulit menjadi sangat kering sehingga mengelupas dan menimbulkan rasa tidak selesa sepanjang tempoh dua bulan tersebut.
Malah, penggunaan pelembap kulit juga tidak banyak membantu kerana kulitnya kembali kering pada keesokan hari.

Namun, sebaik sahaja pulang ke Malaysia beberapa hari lalu, dia mendapati keadaan kulitnya berubah meskipun tidak lagi menggunakan pelembap.
Ketika melihat kulitnya di cermin, dia menyedari masalah kulit kering yang dialaminya sebelum ini seolah-olah sudah hilang.

Daripada situ, wanita itu mula menyedari bahawa kelembapan udara di Malaysia mungkin memainkan peranan dalam membantu mengekalkan kelembapan kulitnya.
Pengalaman itu membuatkannya lebih menghargai cuaca Malaysia, khususnya kelembapan udara yang sebelum ini tidak pernah dianggap sebagai sesuatu yang istimewa.
Baginya, selepas 17 tahun tinggal di Malaysia, pengalaman di Uzbekistan membuka perspektif baharu tentang bagaimana perbezaan iklim boleh mempengaruhi keadaan kulit seseorang.

Reaksi Netizen
Menjengah ke ruangan komen, ada netizen yang berseloroh wajah wanita itu seakan-akan wanita Malaysia, khususnya dari Kelantan.
Tidak kurang juga yang bersetuju bahawa cuaca sejuk dan kering boleh menyebabkan kulit mengalami masalah kekeringan sehingga menimbulkan rasa gatal dan tidak selesa.
“Cuaca sejuk dan kering membuatkan kulit saya gatal, malah boleh menyebabkan masalah kulit yang lebih teruk,” komen seorang netizen.
“Saya setuju. Kalau pergi ke luar negara yang cuacanya berbeza daripada Malaysia, kulit saya mesti menjadi kering,” kata seorang lagi.
“Kalau pergi ke luar negara, bibir saya memang akan jadi sangat kering hingga merekah. Balik Malaysia, bibir terus kembali seperti biasa,” kongsi seorang netizen.

