Tidak menyangka surat yang dikirimkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 9 September lalu mendapat balasan, seorang wanita berkongsi jawapan bekas Perdana Menteri itu terhadap lima persoalan peribadi yang diajukan.
Lebih menyentuh hati, balasan tersebut diterima pada ketika negara sedang melalui suasana dukacita susulan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 28 September 2026.
Menerusi perkongsian di Threads @nrl_abrhm, wanita berkenaan berkata beliau sebelum ini mengirimkan surat kepada Tun Dr Mahathir yang mengandungi beberapa soalan peribadi.
5 soalan peribadi untuk Tun Dr Mahathir
Antara persoalan yang diajukan ialah apakah kenangan paling manis dan pahit dalam kehidupan Tun Dr Mahathir.
Dia turut bertanyakan mengenai cabaran terbesar yang pernah dihadapi ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia, selain perkara yang paling membimbangkan sekiranya berlaku kepada rakyat Malaysia pada masa akan datang.
Tidak ketinggalan, wanita itu turut meminta nasihat Tun Dr Mahathir kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan muda sepertinya.
Ini jawapan Tun Dr Mahathir
Dalam surat balasan tersebut, Tun Dr Mahathir memberikan jawapan ringkas kepada setiap persoalan yang diajukan.
Bagi kenangan manis, beliau menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai antara kenangan yang paling diingati.
Sementara itu, kenangan pahit pula adalah apabila parti beliau menolak nasihat yang diberikan.
“Kenangan manis apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kenangan pahit apabila parti saya tolak nasihat saya,” katanya.
Cabaran terbesar ketika menjadi Perdana Menteri
Ketika ditanya mengenai cabaran terbesar sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir menyifatkan tanggungjawab tersebut sebagai usaha untuk melaksanakan tugas sepenuhnya tanpa terlibat dengan rasuah.
“Cabaran terbesar ialah membuat kerja sepenuhnya tidak terlibat dengan rasuah,” jawab beliau.

Bimbang Malaysia hilang negara dan dijajah semula
Lebih menarik perhatian ialah jawapan Tun Dr Mahathir ketika ditanya perkara yang membimbangkannya sekiranya berlaku kepada rakyat Malaysia pada masa akan datang.
Beliau menjawab dengan ringkas bahawa kebimbangan tersebut adalah kemungkinan negara kehilangan kedaulatan dan dijajah semula.
“Kita hilang negara dan dijajah semula,” katanya.
Pesanan buat rakyat Malaysia
Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir turut menitipkan pesanan ringkas kepada rakyat Malaysia agar sentiasa taat dan setia kepada negara.
“Taat dan setia kepada negara,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau turut memberikan satu lagi pesanan supaya rakyat Malaysia tidak terlibat dengan rasuah.
“Jangan terlibat dengan rasuah,” pesan beliau.
Titip doa buat Tun Dr Mahathir
Sebagai penutup perkongsian, wanita berkenaan turut menitipkan doa agar Tun Dr Mahathir sentiasa diberikan kesejahteraan dan kebahagiaan.
“Terima kasih Tun yang telah banyak berbakti dan menjadikan Malaysia sebagai negara maju yang disegani di mata dunia.
Kami mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Tun selalu. Amin YRA,” katanya.

