Siakap Keli
IDF berundur dari Lubnan
Gambar: AFP

Pasukan IDF Pertama Dilapor Berundur Dari Selatan Lubnan

Pasukan IDF Pertama Dilapor Berundur Dari Selatan Lubnan

Pasukan pertama tentera Israel dilaporkan telah berundur dari sebuah bandar di selatan Lubnan.

Kawasan itu kini diambil alih oleh tentera Lubnan di bawah perjanjian gencatan senjata, menurut kenyataan Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Rabu.

Ketua CENTCOM, Jeneral Erik Kurilla, dilaporkan berada di ibu pejabat pemantauan dan pelaksanaan ketika pengunduran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang pertama serta penggantian oleh Angkatan Bersenjata Lubnan di Al-Khiam, Lubnan.

“Ini merupakan langkah pertama yang penting dalam melaksanakan pemberhentian permusuhan secara berpanjangan dan membina asas untuk kemajuan seterusnya,” kata Kurilla dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, menyifatkan penempatan pasukan tentera di kawasan Al-Khiam dan Marjayoun sebagai langkah asas untuk memperkukuhkan kehadiran tentera di selatan negara itu sejajar dengan keputusan gencatan senjata.

“Kami menghargai usaha tentera dalam menegakkan kestabilan di selatan,” tulis Mikati di platform media sosial X.

BACA: FIFA Umum Tuan Rumah Piala Dunia 2030 dan 2034

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel menyatakan bahawa Briged Ketujuh mereka telah “menyelesaikan misi di Al-Khiam di selatan Lubnan”.

Menurut kenyataan Israel, dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS), pasukan Angkatan Bersenjata Lubnan kini ditempatkan di kawasan itu bersama Misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Pentagon turut memaklumkan bahawa Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin, telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Israel, Israel Katz, dan menekankan sokongan AS terhadap gencatan senjata itu.

Austin menegaskan bahawa perjanjian tersebut berpotensi mewujudkan keadaan untuk keamanan jangka panjang dan membolehkan penduduk di kedua-dua sempadan Israel-Lubnan kembali ke kediaman mereka dengan selamat.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 27 November dan secara umumnya dipatuhi, walaupun kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB akan ditempatkan di selatan Lubnan sementara tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.

BACA: Bantuan Subsidi FLYSiswa Dinaikkan Kepada RM400 – PM Anwar

BACA: Noor Azman Yakin Harimau Malaya Bakal Ke Final Piala AMEC

Sumber: The Defense Post

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: