Pemasangan Pam Bergerak Bantu Mempercepatkan Proses Surut Air Banjir
NEGERI SEMBILAN, 12 DISEMBER 2024 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Skuad Ihsan MADANI PETRA telah menjalankan misi pemantauan dan penilaian keberkesanan pemasangan Pam Bergerak di Pintu Kawalan Air Pasang Surut atau Tidal Control Gate (TCG) sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir di beberapa kawasan berisiko sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pam bergerak tersebut berfungsi mengalirkan air keluar dari kawasan banjir untuk mempercepatkan proses surut. Di Negeri Sembilan, tiga (3) TCG telah dipasang di lokasi hotspot banjir di daerah Port Dickson, iaitu di Tanjung Agas, Sungai Raya, dan Kampung Paya, yang terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko banjir.
Pam di Tanjung Agas dan Sungai Raya masing-masing meliputi kawasan seluas 1.0 hektar, memberi manfaat kepada 15 rumah dan 50 penduduk. Sementara itu, Pam Kampung Paya meliputi kawasan seluas 3.0 hektar, memberi manfaat kepada 50 rumah dan 200 penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya, Puan Vagidah Rohiman binti MS Kader, mengesahkan bahawa sejak pemasangan pam bergerak tersebut, kawasan itu tidak lagi mengalami banjir besar, dengan kejadian terakhir berlaku pada tahun 2021.

Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Agas, Encik Hairi bin Dahalan, turut berkongsi pandangan serupa, menyatakan bahawa pam bergerak ini bukan sahaja membantu penduduk setempat tetapi juga mengurangkan kerosakan harta benda akibat banjir.
Dalam pada itu, jumlah keseluruhan pam bergerak yang terdapat di seluruh negara merekodkan jumlah sebanyak 284 unit.
Selain itu, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Raya, Negeri Sembilan yang melibatkan kos projek berjumlah RM21,800,000 dijangka bermula pada Januari 2025 dapat mengurangkan risiko banjir kepada anggaran sejumlah 100 buah rumah dan 500 orang penduduk di Kampung Sungai Raya dan Kampung Tanjung Agas setelah siapnya projek menjelang tahun 2026, dengan anggaran keluasan 3km persegi kawasan banjir akan dapat dikurangkan.

Sebagai sebahagian daripada usaha bantuan bencana, Skuad Ihsan MADANI PETRA turut melaksanakan misi agihan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Gedok, Negeri Sembilan.
Seramai 35 orang daripada 12 keluarga, penduduk Kampung Gedok yang terkesan dengan kejadian banjir baru-baru ini menerima bantuan berupa Kit Pembersihan Diri, Kit Pembersihan Kediaman Pasca Banjir, Kit Kecemasan, makanan dan minuman, bertujuan untuk meringkankan beban yang dihadapi mangsa pasca kejadian banjir.
Rombongan sukarelawan Skuad Ihsan MADANI PETRA juga turut menyempurnakan sesi penyerahan barang bantuan kepada Pejabat Daerah Tampin untuk diagihkan pada mangsa banjir.
PETRA serta agensi dibawahnya sentiasa terus proaktif dalam menjalankan pemantauan dan tindakan dari masa ke masa terhadap situasi banjir yang sedang berlaku terutamanya di kawasan-kawasan berisiko banjir di seluruh negara.