Bayi ‘Hilang’ Dalam Kandungan, Perut Wanita Hamil 9 Bulan Tiba-tiba Jadi Kempis
Seorang ibu yang hamil sembilan bulan di Kabupaten Ponorogo, Indonesia menjadi perbualan ramai apabila perutnya secara tiba-tiba menjadi kempis.
Menurut Tribun News, kejadian berkenaan berlaku pada 9 Disember yang lalu.
Wanita ini difahamkan sedang dalam persiapan untuk bersalin yang akan disambut oleh seorang bidan. Namun pada keesokkan harinya, dia mula mengalami sakit di bahagian perut.
Perutnya yang sebelum ini membesar seperti wanita hamil, menjadi kempis secara tiba-tiba tanpa mengeluarkan sebarang tanda atau pendarahan.
“Perutnya kosong dan keadaan si ibu menjadi lemah,” ujar abang ipar kepada wanita tersebut.
Tidak mempunyai tanda-tanda mengandungi janin
Tribun News berkata, keluarga wanita itu kemudian segera membawanya ke hospital berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada pegawai kesihatan.
Apa yang mengejutkan, keputusan pemeriksaan Ultrasonografi (USG) yang dibuat mendapati wanita itu dilaporkan tidak mempunyai tanda-tanda mengandungi janin ataupun uterus.
“Keluarga dan penduduk setempat menjadi saksi bahawa perutnya (wanita itu) membesar sejak sembilan bulan yang lalu,” maklum abang ipar lagi.
Manakala jirannya dan penduduk yang lain turut mengesahkan secara fizikal bahawa wanita terbabit sememangnya kelihatan hamil.
Wanita berkenaan telah dibawa ke pusat kesihatan masyarakat
Ketua Polis Sawoo, AKP Djoko Suseno berkata wanita itu telah dibawa ke pusat kesihatan masyarakat untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Rancangan kami adalah meminta pegawai perubatan memeriksa semula keadaan fizikal wanita tersebut dan punca kehilangan janinnya,” jelas beliau.
Menurut kenyataan suami kepada wanita itu, dia memberitahu bahawa isterinya tidak pernah mengalami sebarang masalah ketika melakukan pemeriksaan, selain mengesahkan kehamilannya.
Sumber: Tribun News