Wanita Dapat Hidayah Peluk Islam Di Usia 101 Tahun
Seorang wanita warga emas telah memeluk agama Islam dengan disaksikan oleh anaknya di kediaman mereka di Shah Alam, semalam.
Pengasas dan presiden pertubuhan dakwah Islam, Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkata wanita yang berusia 101 tahun itu memeluk Islam atas kerelaan dirinya sendiri.
“Saya dihubungi sahabat saya yang merupakan seorang peguam, Dato Mohd Daud Leong untuk membantunya mengislamkan ibu yang telah dia dakwahkan selama ini. Setelah bertahun-tahun lamanya Dato Mohd Daud Leong berdakwah kepada ibunya, akhirnya ibunya bersetuju untuk menerima dan memeluk agama Islam,” kongsi Firdaus.
BACA: Lelaki Islam Wajib Tinggal, Tutup Sementara Premis Perniagaan Ketika Solat Jumaat
Dengan bertutur menggunakan bahasa Kantonis, Firdaus mendapatkan pengesahan daripada wanita berkenaan.
“Takde la. Mana ada (paksa). Saya sendiri mau masuk Islam,” jawab wanita tersebut.
Menurut Firdaus, pengesahan tersebut diperlukan bagi memastikan tiada sebarang paksaan untuk memeluk Islam.
“Senang hati saya mendengar jawapan daripada mak cik. Saya membantu mak cik untuk melafazkan syahadah dalam Bahasa Arab satu demi satu. Disusuli dengan terjemahan maksud syahadah di dalam dialek Kantonis.
BACA: Kempen Year End Zakat Seru Masyarakat Islam Segerakan Tunai Zakat
“Selesai sahaja syahadah, Dato Mohd Daud Leong terus memeluk dan mencium ibu tercintanya. Ya saya faham perasaan itu. Seolah-olah saya mengimbas kembali pada 2019 ketika mengislamkan ibu saya sendiri.
“Anak mana yang tidak mahu melihat ibu bapa mereka turut memeluk Islam dan bersama mereka di Jannah. Mereka hanya mampu menyampai dan mengajak tetapi tidak boleh sesekali memaksa,” jelasnya lebih lanjut.
Multiracial Reverted Muslims merupakan sebuah organisasi dakwah yang tidak berasaskan keuntungan. Ia telah ditubuhkan pada 5 Februari 2014 oleh Firdaus sebagai satu platform dakwah kepada mereka yang belum memeluk Islam. Organisasi ini turut diwujudkan bagi membolehkan saudara baru berinteraksi, berkongsi pendapat dan mendapatkan sokongan.