Siakap Keli
Volkswagen berhentikan pekerja
Gambar: AFP

Volkswagen Berhentikan Lebih 35,000 Pekerja

Volkswagen Berhentikan Lebih 35,000 Pekerja

Pengeluar kenderaan terbesar Jerman, Volkswagen (VW) telah mencapai persetujuan dengan kesatuan sekerja IG Metall untuk memberhentikan lebih 35,000 pekerja di Jerman secara berperingkat menjelang 2030.

Menurut BBC, langkah ini disifatkan sebagai “bertanggungjawab secara sosial” untuk menjimatkan kos operasi syarikat sebanyak €15 bilion (kira-kira RM70 bilion).

Keputusan ini dicapai selepas rundingan panjang sejak September lalu, yang menyaksikan kesatuan sekerja dan pihak pengurusan mencari penyelesaian terbaik untuk mengelakkan penutupan kilang serta pengurangan pekerja secara paksaan.

Hasilnya, rundingan tersebut berjaya memastikan:

  • Kilang-kilang tidak akan ditutup walaupun sebelumnya terdapat khabar bahawa beberapa kilang mungkin dihentikan operasinya bagi mengurangkan kos.
  • Tiada pekerja akan kehilangan pekerjaan mereka secara paksa akibat penstrukturan syarikat.
  • Perjanjian gaji pekerja yang sedia ada akan kekal terjamin untuk jangka panjang.

“Kami telah mencapai penyelesaian kukuh di bawah keadaan ekonomi yang sangat mencabar,” jelas Ketua Majlis Kerja IG Metall, Daniela Cavallo.

Tambah BBC, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai, VW akan mengurangkan kapasiti pengeluaran di beberapa kilangnya.

Antara tindakan utama yang akan dilaksanakan adalah:

  • Tawaran persaraan awal kepada pekerja
  • Penggantungan kenaikan gaji sebanyak 5 peratus yang sebelum ini dipersetujui bagi tahun 2025 dan 2026.
  • Program latihan perantis yang ditawarkan di Jerman juga akan dikecilkan daripada 1,400 kepada hanya 600.
  • Sebahagian daripada operasi pengeluaran VW sedang dipertimbangkan untuk dialihkan ke Mexico.
  • Mencari alternatif untuk tapak kilangnya di Dresden dan Osnabrueck.

Difahamkan, langkah drastik ini diambil berikutan penurunan mendadak dalam permintaan kenderaan VW di pasaran China, yang sebelumnya menjadi pasaran utama dan sumber pendapatan terbesar syarikat tersebut.

Pada masa yang sama, kemasukan jenama kereta dari China ke pasaran Eropah telah memperhebatkan persaingan dalam industri automotif, memberi tekanan besar kepada operasi dan strategi perniagaan Volkswagen.

Selain itu, semasa rundingan antara pihak pengurusan dan kesatuan sekerja, lebih 100,000 pekerja VW menyertai mogok amaran.

Justeru, Ketua Eksekutif Kumpulan VW, Oliver Blume, menyifatkan perjanjian ini sebagai “isyarat penting untuk memastikan daya tahan jenama VW di masa depan”.

Sementara itu, Canselor Jerman, Olaf Scholz, turut memuji langkah ini sebagai penyelesaian yang baik dan boleh diterima secara sosial.

VW kini berusaha menyesuaikan strategi perniagaan bagi memastikan kelangsungan syarikat dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.

BACA: The Coffee Bean & Tea Leaf® Malaysia Lancar Kafe Ke-200 Dengan Khidmat Pandu Masuk Di Pulau Pinang

BACA: Sharp Malaysia Sambut Ulang Tahun Ke-40 Dengan Kempen “Live Mighty” Dan Peningkatan Perkhidmatan

BACA: PTPTN Lancar Kempen LESTARIPendidikan

Sumber: BBC

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.