Ketahui Bahaya “Bakteria Pemakan Daging” Yang Ramai Tak Tahu
Udang, ketam dan makanan laut lain adalah hidangan yang sangat digemari oleh ramai orang.
Setiap kali ia dihidangkan, ia pasti menjadi santapan yang ‘laku keras’ walaupun hanya seorang yang menikmatinya.
Masakan berasaskan makanan laut ini juga enak dimasak dengan pelbagai cara, seperti masak lemak, kari, sambal dan sebagainya.
Namun, apabila menyiang makanan laut, kita perlu berhati-hati, kerana selain boleh mencederakan tangan, ia juga membawa risiko yang lebih besar.
Bahaya bakteria “Vibrio vulnificus”
Salah satu ancaman yang perlu diberi perhatian adalah bakteria Vibrio vulnificus, yang boleh masuk ke dalam tubuh manusia melalui luka ketika menyiang makanan laut.
Bakteria ini dikenali sebagai ‘Bakteria Pemakan Daging’ dan sering ditemui dalam haiwan laut.
Jika tidak diambil tindakan segera, jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan luka yang meradang dan gejala-gejala lain yang serius.
Menurut Cleveland Clinic, bakteria Vibrio vulnificus boleh tersebar melalui dua cara utama.
Pertama, dengan memakan makanan laut yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
Kedua, melalui luka terbuka ketika ‘menguruskan’ makanan laut semasa proses menyiang.
Gejala jangkitan bakteria “Vibrio vulnificus”
Jangkitan bakteria Vibrio vulnificus boleh menyebabkan gejala yang muncul dengan cepat, biasanya dalam masa kurang dari 24 jam selepas terdedah kepada bakteria tersebut.
Antara gejala yang perlu diberi perhatian adalah:
- Demam dan menggigil
- Kemerahan kulit atau ruam yang cepat membengkak dan menyakitkan
- Lepuh besar berisi cecair yang menyakitkan
- Mual dan muntah
- Cirit-birit
- Pening atau pengsan
- Kelemahan badan atau tekanan darah rendah
- Kekeliruan atau perubahan mental
- Denyutan jantung yang cepat
Selain itu, bakteria ini juga boleh menyebabkan gastroenteritis, yang melibatkan masalah pencernaan seperti muntah dan cirit-birit.
Faktor peningkatan risiko jangkitan bakteria “Vibrio vulnificus”
Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang dijangkiti bakteria ini:
- Penyakit hati kronik: Individu yang menghidap penyakit hati kronik seperti sirosis lebih berisiko mengalami jangkitan yang serius.
- Sistem imun yang lemah: Pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah, seperti pesakit kanser, diabetes yang tidak terkawal atau mereka yang sedang menjalani rawatan imunosupresif, lebih terdedah kepada jangkitan ini.
- Penggemar makanan laut mentah: Mereka yang gemar makan makanan laut mentah atau tidak dimasak dengan sempurna juga berisiko tinggi dijangkiti bakteria ini, kerana ia sering terdapat dalam perairan laut yang tercemar.
Rawatan bagi jangkitan bakteria “Vibrio vulnificus”
Jangkitan bakteria Vibrio vulnificus boleh dirawat dengan antibiotik, terutamanya jika ia dikesan pada peringkat awal.
Tapi, rawatan lain yang boleh dilakukan termasuklah:
- Pembedahan Debridement: Tisu mati dari luka dibersihkan untuk menghalang jangkitan merebak.
- Mengalirkan cecair dari lepuh: Langkah ini dapat mengurangkan tekanan dan mencegah jangkitan yang lebih teruk.
- Amputasi: Dalam kes yang sangat serius, anggota badan yang terjejas mungkin perlu dipotong untuk menghentikan penyebaran jangkitan.
- Rawatan tekanan darah rendah: Ubat norepinephrine (noradrenaline) boleh digunakan untuk merawat tekanan darah rendah akibat sepsis atau kejutan.
- Cecair intravena: Cecair diberikan melalui saluran darah untuk mengatasi dehidrasi dan menstabilkan tekanan darah.
- Terapi oksigen: Jika jangkitan menyebabkan kekurangan oksigen dalam badan atau kegagalan pernafasan, terapi oksigen mungkin diperlukan.
Kecederaan kecil yang berlaku ketika menyiang makanan laut boleh membawa risiko besar sekiranya tidak dijaga dengan betul.
Jangan abaikan langkah keselamatan dan kebersihan ketika menangani makanan laut.
Dengan mengambil langkah pencegahan yang betul dan bertindak cepat jika berlaku gejala jangkitan, anda boleh mengelakkan kesan buruk daripada bakteria Vibrio vulnificus.
Semoga bermanfaat.