Siakap Keli
Dua Beranak Maut Kemalangan
Gambar: JBPM Perak

Dua Beranak Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan Di WCE

Dua Beranak Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan Di WCE

IPOH,  26 Dis (Bernama) — Dua beranak maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 212.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke selatan dekat Manjung, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa yang maut ialah Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, dan anak lelakinya yang berusia kira-kira dua tahun.

“Kedua-dua mangsa menaiki kereta Perodua Kelisa, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lelaki berusia 24 dan kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia tiga tahun yang menaiki kenderaan sama hanya mengalami kecederaan ringan,”  katannya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya dua mangsa lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira, mengalami kecederaan ringan.

Sabarodzi berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 22 kilometer, selepas menerima panggilan pada 5.15 pagi.

Beliau berkata kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu Perodua Kelisa yang hilang kawalan, terbabas, dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah jalan.

“Kemalangan tersebut menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar dari kenderaan. Sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti gagal mengelak dan melanggar kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kemudian, sebuah Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun juga gagal mengelak dan merempuh Perodua Kelisa tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hasbullah berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-6375962 atau 05-6899072.

Sumber: BERNAMA

BACA: Tiada Rakyat Malaysia Terlibat Dalam Nahas Pesawat Di Kazakhstan

BACA: Tujuh Maut, 33 Cedera Dalam Kemalangan Di KM204 Plus Arah Utara

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.