Hujan Lebat Diramal Di Tiga Negeri Hingga Lewat Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri dan satu Wilayah Persekutuan hingga jam 11 malam ini.
Dalam kenyataan tersebut, kawasan yang terlibat adalah Perak, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Difahamkan, seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka dilanda cuaca buruk berkenaan.
“Bagi Perak, daerah yang terlibat adalah Kampar dan Batang Padang.
” Di Sarawak pula, kawasan yang diramal hujan lebat termasuklah Kapit, Bintulu (Tatau), Miri (Beluru dan Telang Usan) dan Limbang.
“Manakala Sabah pula di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat),” maklum METMalaysia.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
https://www.facebook.com/malaysiamet/posts/pfbid0hdNHSXopi4RXAkPrxTs8SptTkM45wPaXABKQrwjE2M64ZGX5Ts49Tsi2F6hAiutUl
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini.
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
“Jajahan Tumpat dijangka membabitkan lembangan Sungai Golok, lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka manakala jajahan Pasir Mas melibatkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan,” menurut kenyataan itu.
BACA: Pesawat Ini Berlepas Pada 2025, Mendarat Pada 2024
JPS memaklumkan jajahan Kota Bharu membabitkan lembangan Sungai Kelantan, lembangan Sungai Pengkalan Datu dan lembangan Sungai Semerak; lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Semerak (Pasir Puteh); lembangan Sungai Kemasin dan lembangan Sungai Semerak (Bachok) serta lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan (Tanah Merah).
Menurut kenyataan itu, jajahan Kuala Krai akan melibatkan lembangan Sungai Kelantan manakala di Jeli membabitkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
“JPS akan membuat pemantauan secara berterusan dan akan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai ini.
“Banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh jangkaan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk setempat terutamanya di kawasan berisiko banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” menurut JPS