Jangan Ambil Mudah, Ini Risiko Meja Lipat Terhadap Kanak-kanak
Meja lipat merupakan peralatan yang sangat praktikal dan mudah alih, yang mana sering digunakan sama ada di rumah, sekolah atau dimana-mana sahaja.
Walau bagaimanapun, di sebalik kegunaannya yang serba boleh, meja lipat boleh membawa risiko yang tidak boleh diabaikan, terutamanya kepada kanak-kanak.
Risiko ini termasuk jatuh, terkena pada bucu dan juga bahaya tersepit di celah-celah kaki besi meja berkenaan.
Sifat ingin tahu yang ada pada kanak-kanak, selain kecenderungan untuk meneroka persekitaran mungkin menyebabkan mereka terserempak dengan bahaya yang tidak disangka-sangka.
Boleh bawa maut, ini risiko meja lipat terhadap kanak-kanak
Menurut Hong Kong Consumer Counsil, meja lipat merupakan satu peralatan yang sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan jiwa dalam kalangan kanak-kanak.
Kebanyakan kes yang melibatkan kematian berlaku apabila kanak-kanak menterbalikkan meja dan bermain di tengah kaki meja berkenaan.
Jika kaki meja tidak dikunci dengan betul, ia boleh terlipat dan memerangkap kanak-kanak di antara batang kaki besi meja berkenaan.
Setelah terperangkap ditengah kaki meja, agak mustahil untuk kanak-kanak melepaskan diri tanpa bantuan orang dewasa.
Berat badan mereka akan menyebabkan kaki besi semakin ketat, lebih-lebih lagi ketika mereka panik atau bergelut untuk melepaskan diri.
Akhirnya, mereka mungkin tersepit atau tercekik di celah-celah kaki besi berkenaan serta berisiko untuk maut.
Gambaran apa yang boleh berlaku boleh dirujuk berdasarkan infografik dibawah:

Hong Kong Consumer Counsil berkata, terdapat beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil oleh orang ramai untuk mengelakkan situasi di atas berlaku.
Antaranya pengguna perlu memastikan meja lipat yang dibeli adalah kukuh dan mempunyai kunci keselamatan. Apabila meja berkenaan dibuka, kunci keselamatan perlu dimasukkan supaya meja tidak terbalik atau tertutup sendiri.
Memandangkan meja lipat adalah berbahaya kepada kanak-kanak, maka ibu bapa perlu mengawasi anak masing-masing dan melarang mereka daripada bermain dengan peralatan tersebut.
Sekiranya tidak digunakan, adalah lebih selamat jika meja lipat disimpan dalam kawasan tertutup yang jauh daripada jangkauan kanak-kanak.
Perlu diingat, apabila kanak-kanak tersepit di celah kaki meja lipat, peluang untuk mereka terselamat adalah tipis sekiranya tiada orang dewasa di kawasan berdekatan.
Jadi, ambil langkah pencegahan dari awal supaya tiada perkara tidak diingini berlaku.
@publichealthmsia 1. Pastikan meja lipat anda mempunyai kunci keselamatan. 2. Jangan biarkan kanak-kanak bermain berhampiran meja lipat. 3. Simpan meja lipat dalam keadaan tertutup dan tidak mudah diakses oleh kanak-kanak.