Lesap RM10k, Gadis Tak Sangka Giliran Mak Kena ‘Scam’ Dengan Cara Ni
Dalam dunia yang penuh dengan teknologi digital sekarang ni, semuanya boleh dilakukan dengan sangat mudah dan pantas. Tak perlu keluar rumah, tak perlu habiskan minyak kereta dan tak perlu bersesak-sesak atas jalan.
Segala barang keperluan pun boleh dibeli dalam talian, tinggal tunggu sampai saja depan pintu rumah. Bukan itu saja, banyak lagi kegunaan teknologi digital yang memudahkan orang ramai terutama untuk berhubung dengan sahabat handai yang jauh.
Bagaimanapun, kadang kala teknologi seperti ini disalahguna oleh orang yang tak bertanggungjawab. Semua pembaca semestinya sudah sedia maklum mengenai jenayah penipuan yang berlaku dalam talian.
Sejak beberapa tahun lalu, jenayah ini semakin ‘membiak’ sehingga ada mangsa yang hilang jutaan ringgit.
Lebih menggerunkan, individu atau sindiket yang melakukan penipuan ini sentiasa mempunyai modus operandi yang baharu untuk memperdaya mangsa khususnya golongan warga emas.
Baru-baru ini, seorang wanita ada kongsikan mengenai ibunya yang menjadi mangsa penipuan ini. Bayangkan wang yang disimpan lesap sekelip mata selepas membuka pautan pada kad jemputan kenduri kahwin di dalam WhatsApp.
Azmira berkata ibunya menyangka jemputan digital itu dihantar oleh ‘sahabat lama’ dan tanpa curiga dia membuka pautan tersebut.
“Selama ni tengok kena kat orang lain, ni kena dekat mak sendiri pulak. Pandai betul scammer menyamar jadi kawan lama mak. Aku tak tahu la mana dorang dapat info semua tapi baca WhatsApp tu memang meyakinkan betul.
“Mak aku pulak memang tak syak apa la, ingatkan ‘kawan lama’ ajak kenduri anak dia, sekali bila tekan link RSVP tu ada panggilan bank menanti” jelas Azmira.
Menurut Azmira, tidak lama selepas membuka pautan itu, ibunya dapat notifikasi berkenaan penggunaan duit dalam nilai yang banyak melalui akaun bank miliknya.
“Menjerit mak aku bila tengok duit RM10k dalam akaun dia lesap.
“Check punya check rupanya link jemputan tu link apk yang bolehkan scammer tu akses phone mak aku termasuk online banking.
“Aku dah report kes ni, moga jadi pengajaran jugak kat orang lain. Selalulah bagitahu mak ayah korang jangan klik link yang pelik-pelik dan check dulu betul-betul kalau ada nombor tak kenal contact,” katanya.

Kisah ibu Azmira ini salah satu dari kes jenayah penipuan siber yang entah bila akan menemui jalan penamatnya.
Jenayah Sudah Berpindah Dari Jalanan Ke Bilik Tidur Melalui Peranti Masing-masing
Bercakap mengenai jenayah siber ini, ia bagaikan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita. Jika dahulu jenayah hanya berlaku di jalanan sahaja, namun kini pada dunia yang lebih moden, jenayah scam ini boleh berpindah ke bilik tidur melalui peranti masing-masing.
Malah, ia juga disyaki bukan sahaja di negara ini, tapi turut disyaki berpangkalan di negara-negara lain yang tidak dapat dikenal pasti.
Disebabkan itu jugalah semua orang perlu sentiasa berwaspada dengan setiap apa urusan yang berlaku di dalam talian kerana semua orang boleh terdedah kepada bahaya penipuan. Untuk memastikan keselamatan internet di Malaysia terjamin, sebenarnya semua pihak termasuk pengguna perlu ada kesedaran dan tanggungjawab yang perlu dimainkan secara proaktif.
Antaranya platform-platform media sosial itu sendiri perlu memastikan ‘rumah’ mereka selamat untuk dikunjungi oleh mana-mana pengguna.
Kerajaan Tidak Berkompromi Dalam Soal Keselamatan Rakyat
Rentetan daripada kes jenayah yang berlaku di media sosial, kerajaan juga telah melakukan pelbagai cara untuk mengekang masalah ini. Keselamatan dalam talian sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan rakyat tidak lagi menjadi mangsa jenayah siber.
Antaranya melalui pelesenan media sosial yang dikuatkuasakan oleh kerajaan yang dianggap sebagai langkah yang sangat proaktif bagi melindungi pengguna-pengguna di negara ini.
Malah, pengguna juga berasa lebih selamat untuk menggunakan mana-mana platform yang telah dilesenkan.
Menurut temubual kami bersama beberapa orang yang ditemui, ramai yang sangat bersenang hati dengan pelesenan media sosial. Mana tidaknya, mereka katakan dah tiba masanya untuk mewujudkan ekosistem media sosial yang paling selamat.
“Kami ni tiap-tiap hari guna socmed, kerja guna, bersosial pun guna, kadang tu urusan penting pun terpaksa guna juga, jadi agak risau la terdedah kepada bahaya. Bila ada pelesenan ni lega banyak lah sebab setiap platform media sosial itu akan lebih bertanggungjawab dengan platform diorang sendiri,” kata salah seorang orang awam yang kami temui.
“Saya tak tahu details sangat pasal pelesenan ni, cuma yang saya tahu setiap platform media sosial akan dipertanggungjawabkan dalam platform diorang. So diorang kena pastikan platform diorang ni selamat kalau taknak dikenakan tindakan. Kita pengguna pun lebih rasa selamat kalau macam ni,” katanya.
Bukan Taktik Kerajaan Untuk Sekat Kebebasan Bersuara
Usaha daripada kerajaan ini juga memperlihatkan usaha yang kolektif dalam memenuhi keperluan melindungi semua pengguna termasuk kanak-kanak dan kumpulan rentan menerusi keselamatan internet di Malaysia.
Namun, ada juga bunyi-bunyi ‘liar’ yang mengatakan segala yang diusahakan oleh kerajaan ini hanya bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat.
Sebenarnya usaha-usaha ini bukanlah taktik kerajaan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya untuk mewujudkan platform yang lebih bertanggungjawab dan selamat untuk digunakan oleh semua orang.
Hal ini juga dijamin oleh Kementerian Komunikasi yang menegaskan pengguna akan terus dapat menikmati pengalaman menggunakan media sosial yang lebih selamat.
“Kebebasan bersuara adalah hak asasi yang diiktiraf, telah termaktub di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab.
“Kebebasan tiada sempadan adalah kebebasan yang mengundang malapetaka. Oleh itu, tindakan ini adalah untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat,” kata Kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen November lalu.
Sementara itu, Menterinya, Fahmi Fadzil berkata Telegram menjadi penyedia perkhidmatan ketiga yang diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia. Manakala platform yang lain masih lagi dalam proses.
“Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram dan WhatsApp ketika ini masih dalam proses penghantaran melibatkan beberapa dokumen, sebelum mendapatkan lesen.
“Tapi kita jangkakan proses itu dalam masa terdekat akan selesai,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai pelesenan media sosial ini, ikuti laman web Pejabat Perdana Menteri dan MCMC.