8 Kereta MPV Yang Mesra Bajet
Kereta merupakan keperluan penting terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga. Sebuah kereta memudahkan mobiliti harian, sama ada untuk menghantar anak ke sekolah, pergi bekerja, atau merancang perjalanan keluarga. Ia memberikan kemudahan, keselesaan, dan fleksibiliti, terutamanya apabila keluarga berkembang dan memerlukan lebih banyak ruang.
Kereta yang sesuai dengan keperluan keluarga, seperti MPV atau SUV, dapat menampung lebih ramai penumpang dan barang, memastikan perjalanan lebih selesa dan teratur. Di Malaysia, terdapat beberapa pilihan MPV yang mesra bajet dengan harga yang berpatutan, sesuai untuk mereka yang mencari kenderaan keluarga yang luas tetapi tidak mahu membebankan kewangan.
Berikut kami akan kongsikan 8 jenis kereta MPV yang terkenal dengan ciri-ciri yang baik, harga yang mesra bajet dan berpatutan untuk anda:
1. Perodua Alza
Perodua Alza merupakan MPV pertama keluaran Perodua dan telah mencatatkan jualan yang sangat laris di Malaysia sejak diperkenalkan. Ia mampu memuatkan sehingga 7 tempat duduk dengan reka bentuk yang masih moden walaupun telah lebih 5 tahun di pasaran.
Walaupun barisan ketiga Alza boleh digunakan untuk tempat duduk, ia lebih sesuai dijadikan ruang simpanan barang kerana kerusinya agak rendah dan sempit untuk orang dewasa.
Selain itu, tiada corong penghawa dingin di barisan ketiga, menjadikannya kurang selesa untuk penumpang di bahagian tersebut. Alza tetap menjadi pilihan alternatif kepada kereta sedan bagi mereka yang memerlukan ruang tambahan.
Manakala harganya pula dalam lingkungan RM 62,500.00 sehingga RM 75,500.00. MPV ini menawarkan kapasiti penumpang seramai 7 orang dan memiliki enjin 1.5L.

2. Proton Exora
Proton Exora adalah MPV pertama dari Proton yang menawarkan ruang dan keselesaan ideal untuk keluarga besar. Ia merupakan 7-seater dalam kategori bersaiz sederhana besar dengan harga di bawah RM100K. Reka bentuk Exora kelihatan seperti MPV biasa dengan dashboard yang sederhana.
Dari segi ruang tempat duduk, Exora lebih selesa berbanding Perodua Alza kerana setiap barisan tempat duduk dilengkapi dengan penyaman udara, menjadikannya lebih nyaman untuk semua penumpang.
Harga yang ditawarkan untuk Proton Exora ini adalah di antara RM 59,800.00 sehingga RM 69,800.00 dengan kapasiti enjin sebanyak 1.6L.

3. Proton Ertiga
Proton Ertiga adalah MPV bersaiz kompak yang dilancarkan pada November 2016 dan merupakan hasil kerjasama antara Proton dan Suzuki Motor Corporation Japan. Model ini telah menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Ertiga bersaing dengan model seperti Perodua Alza, Toyota Avanza, dan Sienta.
Walaupun mampu memuatkan 7 orang dewasa dengan selesa, ia hanya diiktiraf sebagai MPV 6 tempat duduk kerana tiada tali pinggang keledar ketiga di kerusi baris kedua.
Proton telah menghentikan pengeluaran Ertiga di Malaysia dan model ini tidak lagi diproduksi. Namun, jika anda berminat untuk mendapatkan Proton Ertiga, anda boleh lagi membeli Proton Ertiga terpakai yang masih terdapat dalam pasaran.

4. Perodua Aruz
Perodua Aruz adalah MPV yang tampil dengan reka bentuk terinspirasi oleh SUV kompak moden, memberikan penampilan yang lasak dan menarik. Ia adalah salah satu SUV atau kereta besar paling popular di Malaysia.
Aruz dilengkapi dengan 6 beg udara dan kawalan kestabilan untuk semua varian. Tempat duduk di barisan ketiga menawarkan keselesaan yang baik, menjadikannya sesuai untuk perjalanan jauh.
Kereta ini mampu memuatkan hingga 7 penumpang, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga besar. Manakala harga yang ditawarkan untuk Perodua Aruz ini adalah di antara RM 72,900.00 sehingga RM 80,361.00 dengan kapasiti enjin sebanyak 1.5L.

BACA : Panduan & Tip Sebelum Melancong Ke Turki
5. Toyota Avanza
Toyota Avanza adalah MPV yang sudah lama menjadi pilihan keluarga di Malaysia. Pada 2019, model ini kembali dengan reka bentuk lebih moden dan ciri dalaman yang lebih menarik berbanding model terdahulu.
Avanza mampu memuatkan 7 penumpang, tetapi baris terakhir lebih sesuai untuk kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak tinggi. Harga yang ditawarkan adalah lebih berpatutan berbanding dengan pesaingnya. Ianya sekitar RM 77,963.00 sehingga RM 84,206.00 dan kapasiti enjin ialah sebanyak 1.5L.

6. Honda BR-V
Selain itu, Honda BR-V adalah pilihan terbaik untuk keluarga. Meskipun berstatus SUV, ia mampu memuatkan hingga 7 penumpang dewasa, menjadikannya sesuai untuk keluarga besar. BR-V menawarkan kabin yang luas dan selesa, sesuai untuk pemanduan jauh bersama keluarga.
Kereta ini juga jimat minyak dengan adanya indikator Eco untuk penjimatan bahan api yang lebih baik. Selain itu, Honda BR-V dilengkapi dengan ciri keselamatan yang canggih dan mendapat penarafan 5 bintang dari ASEAN NCAP.

7. Mitsubishi Xpander
Mitsubishi Xpander adalah sebuah MPV yang menawarkan kombinasi ruang, keselesaan, dan prestasi yang sesuai untuk keluarga besar. Diperkenalkan di pasaran Malaysia, Xpander tampil dengan reka bentuk moden dan praktikal, menjadikannya pilihan yang menarik dalam kategori MPV.
Walaupun harga yang diatawarkan agak lebih tinggi iaitu sekitar RM 98,000.00 sehingga RM 105,000.00, Xpander memberikan nilai yang baik dengan reka bentuk menarik, ruang luas, dan ciri keselamatan yang lengkap.
Ia mampu memuatkan sehingga 7 orang penumpang dewasa dan kapasiti enjin adalah sebanyak 1,5L.

8. Toyota Veloz
Veloz menawarkan banyak ciri keselamatan standard yang tidak terdapat pada kebanyakan MPV di kelas harga yang sama. Reka bentuk luarannya lebih premium berbanding model terdahulu, dengan elemen-elemen estetik yang menarik perhatian.
Harga yang ditawarkan adalah sedikit lebih tinggi berbanding model MPV lain. Iaitu sekitar RM 95,000 sehingga RM 100,000.00 (bergantung kepada varian) dan dilengkapi enjin 1,5L.
Toyota Veloz dilengkapi dengan transmisi automatik CVT. Dengan kapasiti penumpang 7 orang, Toyota Veloz sesuai untuk perjalanan jauh bersama keluarga atau ketika membawa banyak penumpang. Toyota Veloz menawarkan ciri-ciri yang canggih dan penampilan yang lebih premium.

MPV-MPV ini bukan hanya menawarkan ruang yang luas dan fungsi praktikal, tetapi juga harga yang berpatutan, menjadikannya pilihan ideal bagi keluarga yang ingin mendapatkan kenderaan dengan bajet terhad.
Sumber : Toyota Malaysia, Perodua Malaysia