Jalan 500km Balik Kampung Selepas Dihalau Isteri & Anak Tiri
Seorang lelaki berusia 62 di Thailand terpaksa melalui detik sukar di usia emasnya selepas dihalau keluar dari rumah sendiri oleh isteri dan anak tiri.
Lebih perit, Phon terpaksa berjalan kaki lebih 500 kilometer berkaki ayam dan sehelai sepinggang pulang ke kampung halamannya di Phong Pisai untuk mencari tempat berteduh.
Menurut The Thaiger, lelaki berkenaan sebelum ini tinggal bersama isterinya di rumah mereka di Satuek untuk tempoh lebih 13 tahun.
Bekerja sebagai pekerja am dan tukang kimpal, Phon malah memberikan semua gaji yang diterima setiap bulan kepada isterinya.
Takdir hidupnya mula berubah selepas anak tirinya yang sebelum ini menetap di Bangkok telah pulang dan menetap bersama mereka pada Disember lepas.
Terdapat selisih faham dengan anak tiri
Suatu hari, berlaku perselisihan faham antara Phon dengan anak tirinya hingga menyebabkan dia dihalau keluar daripada rumahnya.
Ketika bersemuka dengan isterinya untuk membincangkan masalah tersebut, berlaku pertengkaran antara mereka suami isteri.
Apa yang menyedihkan, isterinya lebih memilih untuk menyebelahi anak sendiri yang menyebabkan Phon merasa amat sedih dan tersisih.
Seolah-olah tidak dihargai, warga emas tersebut kemudian terpaksa mengambil keputusan berat untuk keluar daripada rumah berkenaan, pada 28 Disember lepas.
Dengan hanya berkaki ayam dan tidak membawa sebarang bekalan, Phon memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung halamannya sendiri.
Dalam perjalanannya, dia singgah di balai-balai polis yang ditemui di tepi jalan untuk berhenti berteduh dan mendapatkan makanan dari kuil berdekatan untuk mengalas perut.
Phon dikatakan berjalan tanpa pakaian atau wang
The Thaiger berkata, perjalanan Phon menjadi lebih sukar kerana kecederaan kaki akibat kemalangan kereta sewaktu zaman mudanya.
Selama 13 hari berjalan kaki dalam keadaan terhincut-hincut dan menangis di sepanjang jalan, Phon akhirnya bertemu dengan seorang pemandu lori yang baik hati.
Pemandu lori tersebut telah menumpangkan Phon hingga ke daerah Chaiwan. Di sana, Phon dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Ketika disoal oleh pihak berkuasa, Phon menceritakan semua yang berlaku dan keputusannya untuk pulang ke kampung untuk memulakan hidup baru.
Menurut Phon, dia berhasrat untuk bertemu semula dengan cucunya semula di Phong Pisai dan mengambil keputusan untuk menjadi sami di sana.
BACA: Tiada Rakaman Kejadian, Kamera Papan Pemuka Ativa Ada Kesan Pernah Diakses – Saksi
BACA: Asyik Kejar Makanan Viral & Foodtruck, Sekali Lain Pula Jadi Bila Jumpa Trak ‘Istimewa’ Ni
Sumber: The Thaiger