Asyik Kejar Makanan Viral & Foodtruck, Sekali Lain Pula Jadi Bila Jumpa Trak ‘Istimewa’ Ni
Sebagai rakyat Malaysia, kita memang sinonim dengan lambakan food truck dan juga makanan-makanan viral. Keluar di media sosial, terus tekak pun menari-nari ingin mencuba.
Walaupun sedap di bibir, namun semua kena ingat manis di awal tidak semestinya kekal sehingga hujung.
Apabila setiap hari makan makanan yang tidak menyihatkan, ada risiko kesihatan yang perlu diperhatikan jika diamalkan tanpa kawalan.
Terdapat sesetengah makanan viral ketika ini bagaikan tidak mengikut nutrisi yang tepat untuk tubuh badan seseorang. Ada yang kelihatan terlampau manis dan ada yang boleh mengakibatkan masalah kolesterol tinggi dan penyakit kronik.
Makanan-makanan viral ini sangat mudah didapatkan sekarang. Terutamanya di pesta-pesta makanan mahupun food truck.
Kini banyak food truck yang menjual pelbagai jenis hidangan yang kita menganggapnya sebagai ‘syurga makanan’..
Namun, pernahkah anda tahu tentang Wellness on Wheels? Juga sejenis trak, trak yang membawa perkhidmatan kesejahteraan kesihatan terus kepada komuniti di seluruh Malaysia.
Jika anda penggemar makanan viral, jangan pula menolak Wellness on Wheels (WoW) ini kerana anda perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap dan dapatkan nasihat kesihatan daripada pakar.
WoW ni merupakan inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat yang menyokong Teras 2 iaitu Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan. Teras ini memfokuskan untuk memudahkan akses rakyat kepada fasiliti kesejahteraan kesihatan.
Selain itu, WoW dilengkapi dengan kemudahan bagi aktiviti jangkau luar (outreach) dalam memperkasakan komuniti membudayakan hidup sihat.
Tidak dinafikan, disebabkan tiada keseimbangan nutrisi dalam satu-satu makanan boleh menyebabkan kesihatan seseorang terjejas.
Lebih merisaukan, sekiranya badan sedang merana, tapi pemilik badan sendiri tidak menyedari kerana jarang buat pemeriksaan kesihatan.
WoW, kemudahan pantas untuk saring kesihatan anda
Sibuk bekerja dan tiada masa, itulah alasan yang diberikan oleh sesetengah orang apabila diminta untuk membuat saringan kesihatan. Rakyat Malaysia juga agak malu-malu untuk melaksanakan saringan kecergasan.
Mereka ini turut merasakan dirinya masih sihat dan mempunyai imuniti yang tinggi disebabkan faktor usia yang masih muda. Ada juga yang menganggap menunggu keputusan saringan kesihatan yang lama di klinik agak membuang masa dan membosankan.

Mujurlah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi program Wellness on Wheel (WoW) menyediakan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan secara bergerak (mobile) yang mudah diakses dan dekat dengan komuniti.
Antara aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan oleh program ini adalah aktiviti fizikal (coach on stage), saringan kecergasan, permainan interaktif, cabaran litar dan saringan kesihatan percuma untuk semua peringkat umur.
WoW berada di 1,545 lokaliti sejak dua tahun lalu
Menurut hasil data yang dikeluarkan oleh KKM, seramai 934,083 orang telah menerima manfaat daripada pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh WoW.
Aktiviti melibatkan Mobile Truck WoW akan dilaksanakan secara lawatan berjadual ke lokasi seperti sekolah atau institusi pengajian, komuniti setempat, tempat kerja, tempat ibadat serta kawasan tumpuan ramai seperti taman rekreasi, pusat membeli-belah dan pasar.

Dalam pada itu, ia juga terlibat dalam program-program kesihatan seperti kem kesihatan, karnival, Sambutan Hari-Hari Khas Kesihatan, Hari Sukan Negara serta program anjuran kementerian atau jabatan yang lain.
Penyertaan di aktiviti yang ditawarkan oleh WoW berupaya menjadi ‘triggered mechanism’ buat semua rakyat Malaysia yang ingin mula membudayakan hidup sihat.
Ini seiring dengan hasrat untuk bergerak daripada sick care kepada health care.
Aktiviti kesejahteraan kesihatan yang tak ‘cliche’ dan membosankan
Aktiviti yang WoW tawarkan sentiasa bersifat interaktif dan terkini mengikut semua peringkat usia.
Pasukan WoW akan pastikan semua pengunjung berasa seronok dan rasa termotivasi untuk membudayakan hidup sihat.

Walau bagaimanapun, harus ditekankan bahawa WoW bukan hanya masuk di kawasan urban sahaja, WoW juga turut mengunjungi dan menjangkau kawasan-kawasan luar bandar di seluruh negara.
Anda boleh hubungi Jabatan Kesihatan Negeri berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Selain itu, anda juga boleh layari portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
BACA: Serabut Semak Pelepasan Cukai, Ini ‘Step By Step’ Nak ‘Potong’ Cukai Sampai RM3,000