Bayi 6 Bulan Maut, Dipercayai Dibunuh Ibu Kandung Dengan Tragis
Seorang wanita yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak kandungnya tergamak meragut nyawa si kecil yang baru berusia enam bulan.
Kejadian ini dilaporkan berlaku pada Sabtu, sekitar jam 4 pagi, di Desa Way Areng, Kecamatan Mataram Baru, Lampung Timur, Indonesia.
Difahamkan, suspek nekad berbuat demikian kerana dipercayai tertekan setelah menerima ‘khabar buruk’ mengenai suaminya.
Suaminya, yang bekerja sebagai pemandu lori, dikhabarkan akan berkahwin dengan wanita lain setelah lama tidak pulang ke rumah.
Khabar ini membuat suspek merasa cemburu dan marah, sehingga perasaan tersebut tidak dapat dikawal.
Akibatnya, suspek nekad membunuh bayi lelaki mereka yang ketika itu sedang tidur.
BACA: 62 Rumah, Masjid Musnah Dalam Kebakaran
Menurut Tribun News, kejadian tersebut pertama kali disedari oleh anak sulung suspek pada sekitar jam 4 pagi apabila mendengar suara tangisan dari arah dapur.
Setelah pergi ke sana, dia terkejut melihat adik bongsunya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di lantai dapur, sementara suspek berdiri di sebelahnya dengan golok di tangan.
Dalam keadaan panik, dia segera membawa adik bongsunya ke rumah keluarga yang terletak berhampiran.
Namun, apabila dia kembali ke rumah, dia mendapati ibunya terlantar dengan luka di tangan kiri dan mulut berbuih, dipercayai akibat meminum racun.
Sementara itu, adik bongsunya yang diduga ditikam dengan golok di bahagian kepala, tidak dapat diselamatkan.
BACA: Lima Sekeluarga Maut Kereta Bertembung Dengan MPV Di Jalan Nenasi-Rompin
Ketua Bidang Humas Polda Lampung, Kombes Pol Umi Fadillah Astutik, mengesahkan bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian ini.
Menurut beliau, pihak polis telah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mendapati bahawa bayi tersebut meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Selain itu, polis turut menjumpai golok dan botol racun di tempat kejadian.
“Pihak polis masih menyiasat kejadian ini dan tindakan lanjut akan diambil selepas keadaan suspek stabil. Pada masa ini, suspek sedang menjalani rawatan di hospital,” kata Kombes Umi.
BACA: Enam Maut Dalam Kemalangan Di Semporna-Tawau
Sumber: Tribun News