Jake Paul Ajak Zlatan Ibrahimovic Bertinju
Pempengaruh Amerika Syarikat, Jake Paul memaklumkan bahawa dia tidak gentar meneruskan kariernya dalam arena tinju jika berdepan bekas penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic, lapor Stadium Astro.
Walaupun bekas pemain bola sepak itu memiliki tali pinggang hitam karate dan pernah menunjukkan kemahiran seni mempertahankan dirinya, Jake berminat untuk menentangnya.
“Saya dengar Ibrahimovic ada terbabit dengan tinju.
“Ia akan menjadi satu pertarungan yang hebat,” ujarnya di sebuah kejohanan futsal anjuran Gerard Pique di Brazil.
Pada 2024, pertembungan antara Ibrahimovic dan bekas penggempur England, Wayne Rooney dalam satu gelanggang hampir direalisasikan oleh seorang penganjur pertandingan namun tidak kesampaian.
Jake Paul Tewaskan Mike Tyson
Sebelum ini, Jake Paul menewaskan bekas peninju profesional, Mike Tyson dengan keputusan sebulat suara dari ketiga-tiga juri.
Di akhir perlawanan, Paul memberikan tunduk hormat kepada Tyson sebagai tanda penghormatan buat ikon dunia tinju itu.
Youtuber bertukar peninju, Paul hanya menghadapi satu kekalahan dari keseluruhan 11 perlawanannya sebelum ini.
“Saya memandang tinggi Mike, saya terinspirasi daripada dia. Kita tak mungkin ada di sini hari ini tanpa dia.
“Dia satu ikon dan menjadi satu penghormatan dapat berlawan dengannya. Sudah jelas dia manusia yang paling kuat dalam planet ni. Ia memang perlawanan yang sukar seperti yang saya jangkakan,” ucapnya selepas kemenangan diumumkan.
Selepas 19 tahun bersara, Tyson kembali menjejakkan kaki ke gelanggang buat pertama kali dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium AT&T, Texas. Perlawanan lapan pusingan ini menunjukkan kembali bisa tumbukan Tyson yang pernah menggetarkan kategori heavyweight pada 1980-an.
Dengan kekalahan ini, rekod keseluruhan perlawanan Tyson bertukar kepada 50-7 dari 50-6 sebelum ini.
Pertembungan yang sepatutnya dijadualkan pada Julai lalu ditunda pada November berikutan masalah kesihatan yang dihadapi Tyson ketika penerbangan dari Miami ke Los Angeles.
Biarpun terdapat kebimbangan terhadap kesihatannya, Tyson masih meneruskan keputusan bertemu Jake dengan menganggap kritikan yang diterima bersifat iri hati.
Sumber: Stadium Astro